TheMalaysiaTime

Tiada negeri milik mutlak mana-mana parti, PKR ingatkan Sanusi

2026-03-03 - 08:24

Dr Taufiq Johari membidas Sanusi Nor yang bersikap terlalu angkuh dalam politik. PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR mengingatkan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, tiada parti politik boleh menganggap negeri tertentu sebagai milik mutlak mereka. Timbalan Ketua PKR Kedah, Dr Taufiq Johari, berkata sindiran politik yang sering disuarakan Sanusi bukan panduan sesuai memilih kerajaan sebaliknya rekod serta keikhlasan pemimpin. “Dalam sistem demokrasi, tidak ada mana-mana negeri yang menjadi milik mutlak mana-mana parti. “Rakyat Kedah cukup matang dan berhak membuat penilaian sendiri berdasarkan prestasi, rekod perkhidmatan dan keikhlasan kepimpinan bukan sindiran politik,” kata menteri belia dan sukan itu kepada FMT. Taufiq yang juga ketua pemuda PKR turut membidas kenyataan Sanusi yang menyifatkan parti itu hanya berangan-angan apabila berhasrat menjadikan Kedah sebagai kubu kuatnya. Sanusi turut mendakwa Kedah bakal menjadi kubur politik PKR sekiranya terus berhasrat menawan negeri itu yang kini dikuasai Perikatan Nasional (PN) diketuai PAS “Ia mencerminkan sikap terlalu angkuh dalam politik,” kata Taufiq mmengulas sindiran Sanusi itu. Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata PKR akan terus memberi fokus kepada kerja lapangan, prestasi dan khidmat kepada rakyat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang. Pada 13 Feb lalu, presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan menyuarakan keyakinan untuk menjadikan Kedah sebagai kubu kuat parti itu. Sebagai rekod, PN menguasai 33 DUN yang dimenangi pada PRN 2023 manakala Pakatan Harapan (PH) pulang hanya menang tiga. Bagi kerusi Parlimen pula, PN pada PRU15 menang 14 kerusi manakala PH menguasai satu.

Share this post: