TheMalaysiaTime

Tiada masalah Dr Sam petik Muhyiddin bukan lagi calon PM, kata pemimpin Bersatu

2026-03-05 - 10:23

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu tahun lalu lulus usul Muhyiddin Yassin calon perdana menteri dari Bersatu. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mengakui tiada yang salah dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa Presidennya Muhyiddin Yassin ‘bukan lagi’ calon perdana menteri untuk gabungan itu. Bercakap kepada FMT, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Dr Afif Bahardin berkata ini kerana keputusan muktamad akan dibuat secara sebulat suara oleh pimpinan PN. Namun katanya setiap parti komponen berhak menamakan calon masing-masing seperti Bersatu yang setakat ini kekal menamakan Muhyiddin berdasarkan usul diluluskan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) September tahun lalu. “Namun jika parti lain mahu menamakan calon mereka, itu hak masing-masing. Kita meraikan perkara itu, tetapi keputusan akhirnya akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PN. “Apa yang Samsuri kata itu betul, perkara ini perlu dibincangkan di peringkat PN. Apa yang Muhyiddin sebut juga betul,” katanya sambil menolak perbezaan itu menunjukkan perpecahan PN. Beliau turut menjelaskan proses itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana mekanisme sama turut digunakan bagi menentukan calon menteri besar atau jawatan lain dalam gabungan itu. Dr Afif Bahardin. Afif yang juga Adun Taman Medan mengulas kenyataan Samsuri yang sama seperti dirinya, Muhyiddin bukan lagi calon perdana menteri gabungan itu. Samsuri atau lebih dikenali sebagai Dr Sam, berkata keutamaan ketika ini adalah memperkukuhkan PN dan memantapkan muafakat di seluruh negara bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Beliau mengulas laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin bahawa walaupun beliau dlantik pengerusi PN, ia tidak menjamin dirinya akan menjadi calon perdana menteri gabungan itu. Menurut Muhyiddin, isu calon perdana menteri tidak pernah dibincangkan secara rasmi, manakala pelantikan Samsuri sebagai Pengerusi PN dibuat selepas PAS bertegas mahukannya. Samsuri menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN selepas bekas perdana menteri itu meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Share this post: