TheMalaysiaTime

Tiada isu lewat bayar RM600 kepada pesawah, insentif hanya ‘one-off’, kata KPKM

2026-03-26 - 10:41

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan dakwaan berlaku tunggakan bayaran bantuan tunggu tuai RM600 kepada pesawah selama dua musim berturut-turut. PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan tiada isu kelewatan pembayaran bantuan tunggu tuai RM600 kepada pesawah kerana ia inisiatif khas “one-off” bagi musim tanaman padi 2023 dan 2024. Menurutnya, peruntukan bagi bantuan itu tidak diteruskan dalam Belanjawan 2025 dan 2026, serta menafikan dakwaan berlaku tunggakan bayaran kepada pesawah sejak dua musim berturut-turut. “Tidak timbul isu kelewatan pembayaran sepertimana yang digembar-gemburkan pihak pembangkang,” katanya dalam kenyataan. Tegasnya, sebarang kenyataan berkaitan dasar kerajaan perlu dibuat berasaskan fakta tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat. Semalam, Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin dilaporkan mempersoal insentif tunai itu kepada pesawah yang tidak menerima selama dua musim berturut-turut. Kenaikan harga minyak global KPKM berkata, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan di peringkat kementerian bagi meneliti kesan keseluruhan kenaikan harga minyak dunia terhadap sektor pertanian, merangkumi impak ke atas kos operasi, termasuk kenaikan harga diesel, sebelum syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa. “KPKM pada bila-bila masa boleh melaksanakan intervensi sewajarnya berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian penghasilan dan pembekalan padi serta beras negara.” Ia turut memberi jaminan bantuan subsidi input pertanian seperti benih, baja serta racun tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa, walaupun berlaku kenaikan kos di peringkat global. Semalam, Hamzah menggesa kerajaan merangka segera pelan kontingensi nasional menyeluruh bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Katanya, kegagalan menangani isu itu akan mengheret Malaysia daripada krisis harga minyak kepada krisis keselamatan bekalan makanan lebih serius. Harga diesel di Semenanjung ditetapkan pada RM5.52 seliter mulai hari ini sehingga 1 April ini, meningkat RM1.60 daripada RM3.92 seliter susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat. Pada 11 Mac lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk sektor pengangkutan darat awam dan barangan di Semenanjung masing-masing kekal RM1.88 serta RM2.15 seliter.

Share this post: