TheMalaysiaTime

Tiada gangguan LRT Laluan Kelana Jaya

2026-02-27 - 06:04

Rapid Rail Sdn Bhd komited untuk memastikan operasi LRT berjalan lancar. PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd menafikan dakwaan berlaku gangguan perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya pagi ini seperti dilaporkan beberapa media. Katanya, perkhidmatan tren itu beroperasi mengikut kekerapan waktu puncak seperti dijadualkan dan tiada keadaan kesesakan luar biasa dilaporkan di stesen mahupun di dalam tren. Rapid Rail turut menjelaskan kemas kini khidmat pelanggan Rapid KL di media sosial mengenai beberapa tren yang dikeluarkan daripada perkhidmatan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai gangguan operasi. “Pengeluaran tren daripada perkhidmatan adalah prosedur operasi dan keselamatan standard. Ia mungkin dilakukan sementara bagi tujuan pembaikan kecil termasuk isu prestasi penyaman udara atau sistem lain dalam tren. “Kami menegaskan bahawa ketelusan operasi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai gangguan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan.

Share this post: