TheMalaysiaTime

Tiada diskriminasi: iBilik kata tapisan diperkenal untuk cari keserasian

2026-03-13 - 10:34

iBilik nafi dakwaan ia menyokong atau mempromosikan diskriminasi kaum, dan berkata salah gun ciri platform boleh dilaporkan kepada mereka. (Gambar Envato Elements) PETALING JAYA: Agensi penyenaraian bilik sewa, iBilik, menyatakan ciri pilihan kaum di laman web miliknya, yang membolehkan pemilik rumah menapis bakal penyewa mengikut kaum, diperkenalkan untuk “memudahkan proses pencarian” apabila keserasian antara rakan serumah dianggap penting. Dalam kenyataan menjawab pertanyaan FMT, iBilik berkata syarat-syarat tempat tinggal perlu dipertimbangkan memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan budaya. “Oleh itu, ciri-ciri ini direka untuk membantu pengguna mengecilkan senarai dan mencari aturan tempat tinggal yang sesuai dengan lebih cekap,” katanya. iBilik menafikan dakwaan ia menyokong atau mempromosikan diskriminasi kaum dalam apa jua bentuk. “Ini tidak selaras dengan piawaian platform kami, dan kami memandang perkara sedemikian dengan berhati-hati dan serius. “Platform kami terbuka kepada orang daripada semua latar belakang, dan kami telah membantu lebih 20 juta penyewa mencari penginapan yang sesuai dengan keperluan mereka di seluruh Malaysia,” katanya. Katanya lagi, pengguna digalakkan untuk menggunakan platformnya secara bertanggungjawab, dan penyenaraian yang “menyalahgunakan ciri platform” boleh dilaporkan kepada mereka. iBilik berhak untuk membuang senarai atau menggantung akaun jika perlu, tambahnya. “Matlamat kami adalah menjadikan proses pemadanan dan kemasukan penginapan lebih mudah serta telus, supaya penyewa dan pemilik hartanah dapat mencari padanan yang tepat. “Sebagai jenama Malaysia, iBilik komited untuk menambah baik platform kami dan menyokong pasaran sewa yang adil dan bertanggungjawab untuk semua orang,” katanya. Semalam, media melaporkan hampir separuh daripada iklan bilik sewa di Lembah Klang menerusi platform iBilik menyatakan bakal penyewa daripada kaum tertentu tidak dialu-alukan, menurut kajian. Kajian oleh Architects of Diversity (AOD) ke atas 35,367 penyenaraian bilik sewa pada 2 dan 3 Feb mendapati 42.8% secara jelas mengecualikan sekurang-kurangnya satu kumpulan kaum, “menjadikan diskriminasi sebagai pendirian paling lazim dalam kalangan tuan rumah dalam platform tersebut”. AOD juga berkata bahawa ciri iBilik di mana keutamaan kaum terbina dalam reka bentuk platform membolehkan tuan rumah dan ejen secara terang memilih kumpulan kaum menjadikan penapisan kaum sebagai proses ternormal.

Share this post: