Tiada anggota Malbatt cedera dalam letupan di selatan Lubnan, kata Khaled
2026-03-25 - 11:50
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata langkah keselamatan tambahan telah diambil, termasuk rondaan berjadual dan memperketatkan komunikasi antara unit. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata tiada anggota pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 di selatan Lubnan yang cedera dalam letupan terbaru berhampiran ibu pejabat pasukan pengaman PBB di situ. Beliau berkata kementeriannya dan markas pasukan bersama terus memantau keadaan, terutama di sekitar kawasan tugas pasukan Malbatt. “Keselamatan anggota kami kekal sebagai keutamaan. Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) di Naqoura juga memantau keadaan dan telah mengarahkan semua pasukan pengaman supaya sentiasa berjaga-jaga. “Langkah keselamatan tambahan telah diambil, termasuk rondaan berjadual dan pengetatan komunikasi antara unit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Khaled sebelum ini berkata Malbatt 850-13 diarahkan untuk berundur selepas pos kawalan mereka rosak dalam serangan udara Israel pada 13 Mac. Beliau berkata Israel Defence Forces (IDF) menyerang kawasan 100m hingga 200m dari pos kawalan pasukan pengaman Malbatt pada kira-kira 2.35 pagi waktu Lubnan, dalam serangan yang dipercayai mensasarkan jambatan di atas Sungai Litani. Beliau menegaskan tiada anggota yang cedera, dan senjata serta peralatan mereka juga tidak rosak akibat serangan Israel itu.