TheMalaysiaTime

Terminal Lapangan Terbang Kota Bharu siap dinaik taraf, mula operasi esok

2026-03-15 - 03:44

Projek naik taraf terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu akan meningkatkan kapasiti daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kerja pembesaran terminal di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) kini siap sepenuhnya dan akan mula beroperasi esok, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. Dalam kenyataan, beliau berkata projek naik taraf itu meningkatkan kapasiti lapangan terbang berkenaan daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun. Menurutnya, peningkatan kapasiti itu sejajar dengan pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat di lapangan terbang berkenaan. “Pada 2025, jumlah pergerakan penumpang di KBR mencecah 1.7 juta, meningkat 16.2% berbanding tahun sebelumnya,” katanya. Loke berkata kemudahan yang dinaik taraf merangkumi bangunan terminal lebih luas serta pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran pergerakan penumpang. Selain itu, katanya, susun atur baharu kawasan kerbside turut diperkenalkan dengan lorong khusus untuk bas, teksi dan perkhidmatan e-panggilan. Beliau berkata penambahbaikan itu dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang selain menyokong kelancaran operasi lapangan terbang. “Ini amat penting terutama menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan ketara jumlah penumpang,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata pembesaran terminal itu turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan perniagaan di negeri berkenaan. Menurutnya, ketika ini terdapat lima syarikat penerbangan beroperasi di lapangan terbang itu melibatkan enam laluan domestik dan satu laluan antarabangsa ke Singapura. “Majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan ini akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Share this post: