TheMalaysiaTime

Terbabit penipuan dalam talian, 3 rakyat Malaysia ditahan di Kemboja

2026-03-24 - 04:00

Tiga rakyat Malaysia antara 49 suspek ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Khan Sen Sok, Phnom Penh pada petang Ahad. (Gambar Rawpixel) PHNOM PENH: Tiga rakyat Malaysia antara 49 suspek ditahan pihak berkuasa Kemboja kerana didakwa terbabit penipuan dalam talian, selain 46 kad SIM Malaysia dalam serbuan di ibu negara, Ahad lalu. Media kerajaan Agence Kampuchea Presse melaporkan kumpulan itu menggunakan Kemboja sebagai pangkalan operasinya untuk menipu rakyat Malaysia dan mangsa lain di pelbagai negara menggunakan skim pelaburan palsu. “Pasukan petugas bersama di bawah Jawatankuasa Komando Bersatu Phnom Penh menyerbu sebuah hotel di Khan Sen Sok di ibu negara pada petang Ahad. “Pihak berkuasa berkata, mereka yang ditahan termasuk 43 warga China, tiga rakyat Malaysia dan masing-masing seorang wanita Vietnam, Myanmar serta Kemboja,” lapor media kerajaan itu pagi tadi. Pasukan keselamatan Kemboja sedang melakukan serbuan meluas ke atas aktiviti penipuan dalam talian dan pusat perjudian haram di seluruh negara susulan ikrar kerajaan menghapuskan ancaman kegiatan itu menjelang April. Kemboja melancarkan “Operasi XXL”, kempen utama untuk menghapuskan hab penipuan digital. Dalam operasi terbaharu itu, 60 komputer, 31 CPU, sebuah komputer riba, 687 telefon bimbit dan 46 kad SIM Malaysia dirampas, menurut laporan. Dalam taklimat media khas 24 Feb lalu, Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Antarabangsa Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Scott Schelble, memberi amaran penipuan dalam talian mencapai tahap membimbangkan di Asia Tenggara, sebahagian besarnya didorong sindiket antarabangsa teratur. Bulan lalu, Kementerian Dalam Negeri Kemboja memaklumkan lebih 30,000 warga asing didakwa terbabit aktiviti jenayah siber dihantar pulang sejak Jun 2025, manakala lebih 200,000 suspek warga asing meninggalkan negara itu secara sukarela. Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh menghantar pulang tujuh rakyat Malaysia dipercayai menjadi mangsa sindiket dalam talian minggu lalu.

Share this post: