Tengok anak bulan
2026-03-18 - 23:10
Melihat anak bulan Syawal akan dilakukan petang ini di 29 stesen falak dan menara cerapan seluruh negara. Seperti biasa kaedahnya rukyah dan hisab. Jadi, kita tunggu sajalah pengumuman penyimpan mohor besar raja–raja malam ini. Tak perlu kalut. Kalau tak esok raya Sabtu ini. Apa nak kecoh. Tetapi, tular spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini sehingga Jabatan Mufti Perak terpaksa tampil menasihati orang ramai jangan ‘speculate’. Malah, Istana Alam Shah juga mengeluarkan kenyataan tempoh hari bagi memakulumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli berhubung tarikh Hari Raya yang tersebar di media sosial. Namun, raya mengejut pernah berlalu yakni pada 2022 apabila Aidilfitri diisytihar untuk disambut pada 2 Mei tahun itu bukannya 3 Mei seperti dijangka. Maka berlakulah situasi teramat kelam-kabut. Tak perlu dihuraikan kerana kita semua mengalami dan melaluinya. Panik pun ada seronok pun ada. Dikatakan baru-baru ini tercetus ‘perbincangan’ khusus di media sosial akan ‘risiko’ raya mengejut berulang tahun ini. Mendorong mufti Perak dan Sultan Selangor menyuarakan nasihat yang disebut tadi. Kalau pada 2022 saya pelik bagaimana raya mengejut boleh terjadi tahun ini saya pelik bagaimana spekulasi raya mengejut boleh timbul. Siapalah yang memulakannya. Padahal selama ini kita semua berpandu takwim hijri dan akur ia adalah panduan awal dan proses rukyah hilal menentukan tarikh raya sebenar. Pun begitu lazimnya tarikh yang dicatat dalam takwim adalah tepat sehingga proses melihat anak bulan dan pengumuman yang menyusuli disifatkan ramai sebagai hanya satu formaliti. Berbeza zaman saya kanak-kanak dulu khususnya awal 1960-an. Memang ada takwim dengan tarikh Hari Raya dicatat. Tetapi masyarakat memang tunggu pengumuman rasmi. ‘It’s something people looked forward to. In fact the announcement is an event by itself’. Maka, di masjid jemaah duduk menunggu selepas sembahyang isyak untuk tahu sama ada tarawih akan ditersukan atau ‘to be fair’ perlu dinyatakan ini berlaku juga pada zaman ini bukan hanya zaman lalu. Cuma ‘excitement’ berlainan. Saya seperti kanak-kanak lain juga sibuk iaitu sibuk bermain bunga api dan mercun sambil tunggu ‘announcement’. Kaum ibu (istilah orang dulu untuk golongan wanita tak kira yang dah berumah tangga atau belum) semua bersiap sedia selepas buka puasa. Ertinya ‘on standby mode’. Bagi kami di Kampung Baru Kuala Lumpur proses melihat anak bulan Syawal (juga Ramadan) hanya dilaksana di Teluk Kemang, Port Dickson. Lain tempat kami tak tahu. ‘At least I didn’t know’. Mungkin orang lain tahu. Pada zaman itu sudah ada siaran televisyen (tentulah hitam putih). Tetapi radio ‘was still a big thing’. Apa yang dipanggil transistor radio memang kesukaan ramai. Ia boleh dibawa ke merata tempat. Jadi, yang ada ‘portable’ radio akan bawa ke ‘favourite spot’ maisng-masing berkumpul bersama keluarga atau kawan mendengar siaran radio sementara tunggu pengumuman penting yang memang dinanti-nantikan. Bukan seperti sekarang, pengumuman dulu biasanya ke udara paling awal pukul 11.30 malam. Pernah juga pengumuman dibuat selepas ‘midnight’. Tiada siapa yang merungut. Menunggu pengumumuan seperti dikata tadi bagai pesta. ‘Put simply the thrill is in the waiting’. Jika diumumkan anak bulan Syawal tidak kelihatan (oleh itu puasa satu hari lagi) kanak-kanak tak ‘happy’. Tetapi main bunga api dan mercun tetap diteruskan. Orang dewasa buat rancangan apa yang perlu dilakukan keesokan hari. Kaum ibu tentukan menu buka puasa untuk esok yakni hari terakhir Ramadan. Selalunya suatu ‘special’ dihidangkan. Namun, jika diumumkan anak bulan Syawal kelihatan lalu esoknya Hari Raya, sorakan gembira menyambutnya terutama kanak-kanak. Lebih banyak bunga api dan mercun dibakar. Orang dewasa yang ‘on standby mode’ terus melancarkan ‘operasi’ terutama memasak rendang dan rebus ketupat. Rumah sudah awal-awal lagi dibersih dan dihiasi. Langsir dan kusyen baru sudah dipasang. ‘No problem’. Kuih atau biskut raya dah lama ‘ready’. Begitu juga dodol. Cuma rendang dan ketupat yang perlu ‘ditangani’ bagi memastikan kesegaran. Semua mesti ‘freshly cooked’. Bayangkan betapa pantasnya golongan dewasa zaman itu, lelaki dan wanita menjalankan tugas sebaik sahaja pengumuman dibuat pukul 12 malam, dan mereka kerja sehingga awal pagi. Ada yang dapat pejam mata sejenak. Ada yang tidak tidur langsung. Bukan aneh lihat orang dewasa bermata merah pada siang Hari Raya. Memang memenatkan tetapi ‘nobody complained’. Dengan sebaik saja pengumuman Syawal dibuat tak kira waktu lewat, orang masjid dalam beberapa kumpulan pergi rumah ke rumah untuk bertakbir raya. Ada antara mereka bawa anak yang kami gelar ‘budak- budak alim’. Saya bagaimanapun tak disenarai sebagi budak alim. Itu sepintas lalu suasana raya zaman saya kanak-kanak di Kampung Baru, di tengah-tengah Kuala Lumpur. Rasanya di tempat lain juga lebih kurang begitu juga keadaannya zaman itu. Panjang lagi cerita kemeriahan dan kegembiraan tetapi cukuplah sekadar itu. Sesuatu yang tidak akan berulang. Raya dulu raya sekarang memang berbeza sesuai peredaran zaman. Namun, ia ada kemeriahannya tersendiri. Selamat Hari Raya Aidilfiri buat semua. Maaf zahir dan batin. Tak kisahlah raya esok atau lusa. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.