Teks Perlembagaan dalam BI masih rujukan terutama, kerajaan jawab saman
2026-03-27 - 10:30
Seorang peguam mahu mahkamah isytihar Perlembagaan versi bahasa Melayu mengatasi versi bahasa Inggeris. KUALA LUMPUR: Perlembagaan versi bahasa Inggeris masih teks berautoriti, kata Putrajaya dalam maklum balas terhadap saman yang difailkan oleh seorang peguam, berdasarkan duluan yang ditetapkan oleh dua keputusan Mahkamah Persekutuan. Kerajaan menyatakan bahawa sehingga kini, belum ada sebarang penentuan oleh Yang di-Pertuan Agong bahawa kedudukan teks bahasa Melayu instrumen pengasasan negara itu merupakan rujukan terutama, dalam Perkara 160B Perlembagaan. Perkara 40 pula menyatakan bahawa baginda hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri. “Perlembagaan versi bahasa Inggeris adalah rujukan terutama, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi dan Loh Siew Hong,” kata kerajaan dalam pembelaannya terhadap saman tersebut. Tahun lalu, sidang tiga hakim di Mahkamah Persekutuan menolak hujah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bahawa penukaran agama secara unilateral adalah dibenarkan oleh undang-undang menurut teks Perlembagaan dalam bahasa Melayu. Hakim ketika itu, Nallini Pathmanathan, berkata persoalan mengenai teks berautoriti telah pun diselesaikan dalam kes Indira Gandhi, ketika menolak permohonan MAIPs untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan, yang membatalkan penukaran agama tiga anak Loh yang bawah umur secara sebelah pihak. Pada 2018, sidang lima hakim di Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa istilah ‘parent’ dalam Perlembagaan versi bahasa Inggeris bermaksud persetujuan ibu dan bapa diperlukan dalam penukaran agama kanak-kanak bawah umur, memandangkan perkataan itu boleh merujuk kepada bapa atau ibu si anak. Hari ini, kerajaan berkata Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili MAIPs selaku peguam dalam kes itu, bertindak kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dalam kes Loh. Haniff memfailkan tindakan writ sekarang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lalu, menamakan kerajaan sebagai defendan. Beliau memohon mahkamah mengisytiharkan Perlembagaan versi bahasa Melayu harus diberi keutamaan berbanding versi bahasa Inggeris. Haniff berkata kerajaan masih belum menetapkan versi tersebut sebagai teks berautoriti, walaupun Agong melancarkan Perlembagaan versi bahasa Melayu pada 29 Sept 2003. Beliau berhujah kegagalan tersebut satu pelanggaran kewajipan oleh kerajaan, iaitu untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi menjunjung dan memartabatkan bahasa kebangsaan. Kes ini dijadualkan untuk perbicaraan selama empat hari bermula 24 Mei 2027.