Tekanan dijangka berpanjangan walaupun konflik Iran reda, kata ahli ekonomi
2026-03-26 - 04:50
Konflik berterusan di Asia Barat yang mengganggu bekalan minyak melalui Selat Hormuz dijangka mengambil masa untuk kembali stabil, kata Samirul Ariff Othman. (Gambar AFP) PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi tempoh tekanan dalam pasaran minyak yang berpanjangan, walaupun konflik di Asia Barat berkemungkinan reda dalam masa terdekat, kata seorang ahli ekonomi. Amaran itu susulan pengumuman kerajaan mengenai langkah intervensi awal bagi menangani ketegangan yang semakin memuncak. Samirul Ariff Othman. Profesor adjung Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman berkata cabaran sebenar Malaysia bukan sahaja ketika konflik berlaku, tetapi sepanjang tempoh pemulihan sistem tenaga global. Menurutnya, isu utama bukan sekadar sama ada ketegangan meningkat atau mereda, tetapi jurang masa antara gangguan dan pemulihan walaupun konflik berkurang dan laluan perkapalan dibuka semula. Jelasnya, sistem minyak global tidak akan kembali normal dengan serta-merta. Beliau menjelaskan pasaran minyak bergantung kepada rangkaian sistem yang saling berkait seperti ketersediaan kapal tangki, insurans maritim, akses pelabuhan, konfigurasi penapisan dan kontrak bekalan. “Apabila laluan kritikal seperti Selat Hormuz terganggu, semua sistem ini akan terjejas serentak. Harga mungkin melonjak serta-merta, tetapi pemulihan bekalan fizikal mengambil masa yang jauh lebih lama,” katanya. Tambah beliau, walaupun aliran minyak masih berterusan, kos boleh meningkat mendadak akibat risiko kepada kapal tangki, premium insurans perang, laluan alternatif dan caj pengangkutan yang lebih tinggi. Kenaikan kos ini akan memberi kesan langsung kepada harga bahan api, meningkatkan beban subsidi kerajaan di bawah BUDI, serta mendorong kenaikan kos elektrik, pengangkutan, logistik dan makanan. “Dalam konteks ini, kejutan sebenar bukan hanya kekurangan bekalan, tetapi lonjakan harga akibat premium risiko,” katanya. Samirul turut memetik tanda awal tekanan di rantau Asia Pasifik, termasuk penutupan stesen minyak dan gangguan penerbangan di Filipina, kekurangan bahan api di beberapa kawasan di Australia, serta pembatalan kira-kira 1,100 penerbangan oleh Air New Zealand akibat kekurangan bahan api kapal terbang. “Ini belum lagi krisis besar, tetapi petunjuk awal bahawa sistem bekalan semakin tertekan,” katanya. Beliau menyambut baik langkah intervensi awal Putrajaya bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara. Dalam mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersetuju untuk mempelbagaikan sumber tenaga, meneroka laluan penghantaran alternatif dan memperkukuh daya tahan bekalan. Samirul menyifatkan langkah dicadangkan MTEN sebagai tepat dari segi hala tuju, namun menegaskan ia lebih bersifat penyelesaian jangka sederhana. “Realiti struktur seperti faktor geografi, reka bentuk loji penapisan dan integrasi pasaran global tidak boleh diubah dalam masa singkat,” katanya. Beliau turut menekankan keperluan langkah melibatkan orang ramai seperti penjimatan penggunaan bahan api sebagai sebahagian daripada pengurusan permintaan bagi memanjangkan tempoh bekalan sedia ada ketika sistem tertekan. “Keselamatan tenaga kini bukan lagi sekadar soal rizab atau pengeluaran, tetapi keupayaan keseluruhan rantaian bekalan untuk bertahan, dan itu memerlukan masa untuk diperkukuh semula,” katanya.