TheMalaysiaTime

Tawaran Zahid mungkin strategi tarik Hamzah kembali ke Umno, kata KJ

2026-03-07 - 07:43

Khairy Jamaluddin berkata Umno dilihat membuka ruang kepada Hamzah Zainudin kembali berbanding tubuh parti lain. PETALING JAYA: Keputusan Umno membuka seluas-luasnya pintu kepada bekas pemimpinnya mungkin langkah taktikal membawa masuk kembali Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu, bulan lalu. Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata tawaran Presiden Zahid Hamidi itu bukan hanya untuk mereka yang dipecat atau digantung tetapi merentasi parti politik. “Ini membuka ruang kepada Hamzah kembali dalam Umno dan langkah taktikal oleh Zahid selepas mendengar Hamzah mahu menubuhkan parti baharu. “Semalam (Khamis) ada juga satu perbincangan isu ada kaitan orang Melayu dan Bumiputera dihadiri Umno, PKR, PAS, Amanah,” katanya dalam program audio siar Keluar Sekejap. “Ia gerakan Umno untuk menyatukan orang Melayu dan parti yang boleh wujudkan kolaborasi agung,” kata Khairy yang menyifatkannya sebagai langkah taktikal kerana turut menyediakan peluang kembali bersama Umno. Semalam, Zahid mengumumkan parti itu membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertainya. Tawaran itu juga dilihat melatari krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah dipecat pada 13 Feb lalu susulan kemuncak pertelingkahan kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Hamzah mengesahkan ada perbincangan untuk beliau mengambil alih dan menerajui Parti Keluarga Malaysia namun keputusan muktamad masih belum dibuat. Sementara itu, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata langkah itu menunjukkan kehebatan taktikal parti berkenaan walaupun langkah strategiknya masih menjadi persoalan. Beliau berkata Umno memanfaatkan peluang pertelingkahan parti lain terutama musuh Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) selain tidak membuat kenyataan berkait kontroversi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki. “Umno diam dan bila ada peluang ia bina naratif baharu yang asing dari kecelaruan. “Mungkin inilah cara untuk Umno boleh tingkat kerusi selain menjadi sebahagian kerajaan atau memimpinnya,” katanya.

Share this post: