TAR UMT dapat pengecualian cukai 10 tahun
2026-02-04 - 11:16
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian cukai itu pada program ‘Temu Anwar’ di kampus TAR UMT di Setapak, Kuala Lumpur, hari ini. KUALA LUMPUR: Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) akan menikmati pengecualian cukai selama 10 tahun susulan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa semua badan dan yayasan pendidikan akan dikecualikan cukai selama sedekad. Anwar mengumumkan perkara itu semasa program ‘Temu Anwar’ yang diadakan di kampus utama TAR UMT di Setapak. “Ini untuk yayasan yang ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, seperti Yayasan TAR,” katanya selepas menyampaikan replika cek bernilai RM40 juta kepada yayasan universiti itu sebagai geran padanan kerajaan. Pada Disember lalu, TAR UMT berkata ia masih menunggu keputusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung lanjutan pengecualian cukainya selepas 31 Dis. Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Presiden MCA Wee Ka Siong menyatakan penghargaan beliau kepada Anwar atas pengecualian tersebut. Wee, yang juga pengerusi lembaga pemegang amanah Yayasan Pendidikan TAR, berkata tanpa pengecualian itu, universiti berkenaan berdepan cukai tahunan sehingga RM20 juta, yang berpotensi menjejaskan ribuan pelajar.