Tangguh pelantikan, 5 PN negeri terus tanpa nakhoda
2026-03-14 - 07:03
Azmin Ali, Ahmad Faizal Azumu, Dr Sahruddin Jamal, Mohamad Hanifah Abu Baker dan Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini umum letak jawatan pengerusi di negeri masing-masing. KUALA LUMPUR: Pelantikan pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri termasuk di lima negeri yang kini tanpa ketua ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri. Pengerusinya, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pelantikan itu ditangguhkan sehingga mesyuarat seterusnya iaitu setelah lawatan kerjanya ke semua negeri dijadualkan selepas Aidilfitri. Beliau berkata demikian selepas mesyuarat majlis tertinggi di Ibu Pejabat Gerakan. Pada masa ini, PN Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor tidak mempunyai ketua selepas penyandangnya meletak jawatan. Azmin Ali (Selangor), Ahmad Faizal Azumu (Perak), Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) meletak jawatan, mengikut jejak Muhyiddin Yassin mengosongkan jawatan pengerusi PN pusat berkuat kuasa 1 Jan lalu. Empat pemimpin Bersatu itu berpandangan pelantikan mereka adalah atas bidang kuasa Muhyiddin. Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin pula meletak jawatan pengerusi PN Melaka bagi memberi laluan kepada penyusunan semula kepimpinan gabungan itu di peringkat negeri. Ketua Wanita Bersatu itu kini digantung keahlian susulan krisis dalaman parti itu yang menyebabkan Hamzah Zainudin dipecat, bulan lalu. Oktober lalu, PN mengumumkan beberapa perubahan pengerusi PN negeri yang antaranya menyaksikan Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah digantikan dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man di Pahang. Bekas menteri besar Perlis Shukri Ramli pula digantikan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim sebagai pengerusi PN Perlis.