TheMalaysiaTime

Tangani isu agama secara matang, elak provokasi melampau, kata PAS

2026-03-11 - 03:25

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata percubaan menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak. PETALING JAYA: PAS menggesa supaya isu sensitiviti agama termasuk berkaitan tempat ibadat ditangani secara berhemah dan matang, tanpa provokasi melampau daripada mana-mana pihak. Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu memandang serius ketegangan dan pertelingkahan terbuka melibatkan beberapa pertubuhan serta individu beragama Hindu dan yang beragama Islam kebelakangan ini. Katanya, isu berkait agama dan identiti kaum hendak ditangani dengan penuh kebijaksanaan, sikap tenang dan kepekaan mendalam terhadap sifat asasi masyarakat majmuk. “Percubaan untuk membingkaikannya dengan cara-cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak,” katanya dalam kenyataan. Beliau juga menggesa semua pemimpin, pertubuhan dan platform media agar sentiasa bertindak dengan lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas atau melaporkan isu-isu begini. “Malaysia sangat memerlukan suara yang menenteramkan keadaan, bukan yang memarakkan ketegangan,” katanya. Beliau juga berharap pihak berkuasa menguruskan ketegangan yang berlaku dengan segera secara lebih telus dan adil. “Penjelasan tepat, penguatkuasaan undang-undang yang adil dan tidak memihak serta komunikasi krisis yang jelas daripada pihak berwajib sangat perlu bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan prasangka atau peningkatan ketegangan yang tidak perlu. “PAS akan terus komited kepada usaha dan matlamat memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat dengan pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya, selain kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin perlembagaan negara,” katanya. Semalam, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam beberapa insiden baru-baru ini yang dilihat berpotensi menggugat keharmonian kaum dan agama. Beliau berkata, kementeriannya memandang serius tiga kejadian yang mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat, antaranya tiga kenderaan milik aktivis masyarakat, Cikgu Chandra dibakar pihak tidak bertanggungjawab. Katanya, selain itu satu video tular memaparkan seorang lelaki memijak serta merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan penganut agama tersebut Menurutnya, satu lagi insiden melibatkan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth, yang turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan individu serta ketenteraman awam.

Share this post: