TheMalaysiaTime

‘Tangan ghaib’ cuba rosak hubungan BN-PH Johor, dakwa pemimpin Umno

2026-03-14 - 10:44

Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman menegaskan dakwaan konon PH tidak dilayan secara adil perlu dilihat dengan seimbang. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mendakwa ada ‘tangan ghaib’ yang cuba merosakkan hubungan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan Johor dengan membangkitkan isu termasuk agihan jawatan ketua kampung, ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Setiausaha Umno Johor, Abdul Halim Suleiman, berkata isu berhubung pelantikan jawatan tersebut sengaja diperbesarkan segelintir pemimpin PH walaupun perkara itu memerlukan pertimbangan dan proses tertentu dalam pentadbiran negeri. “Kerjasama BN dan wakil rakyat PH baik, cuma ada ‘tangan-tangan ghaib’. Ada ketua negeri yang kalah dalam pertandingan parti, kemudian mahu kembali ke arus perdana dengan membangkitkan isu tertentu termasuk soal (ketua kampung, ahli majlis) supaya dilihat sebagai pemimpin yang kuat menyebabkan timbulnya persepsi seolah-olah hubungan BN dan PH bermasalah. “Soal (jawatan ketua kampung, ahli majlis) kita ada pandangan kita...sebab tidak ada perjanjian awal semasa PRN lepas (antara BN-PH),” katanya kepada FMT tanpa merujuk pemimpin terlibat secara khusus. Pada masa sama, Halim menegaskan dakwaan konon PH tidak dilayan secara adil juga perlu dilihat dengan seimbang, termasuk dari sudut kerjasama wakil rakyat di peringkat Parlimen apabila pemimpin Umno dan BN di kawasan juga tidak diberi sebarang peruntukan oleh Ahli Parlimen PH bagi melaksanakan program kepada rakyat. “Saya bagi contoh, ada Ahli Parlimen kawasan PH yang tidak pernah turun membantu Umno dalam melaksanakan program atau menyalurkan peruntukan bagi membantu aktiviti di peringkat akar umbi. “Peruntukan kepada Ahli Parlimen RM3 juta, RM4 juta setahun banyak digunakan untuk mengukuhkan kedudukan politik mereka sendiri sebagai wakil parti masing-masing. Kita ini (pemimpin Umno peringkat bahagian) pun bukan tunggul,” dakwanya. Beliau berkata, walaupun tiada jawatan ketua kampung, PBT dan GLC diberikan kepada PH, Adun gabungan itu tetap dilayan dengan adil termasuk diberikan peruntukan oleh kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi. “Wakil mereka yang duduk di negeri (sebagai Adun)...kerajaan negeri bantu termasuk soal peruntukan secara adil tapi kenapa (pemimpin PH) tak bercakap? Kenapa kamu menjurus kepada isu jawatan ahli majlis, menjurus kepada jawatan ketua kampung, ini sebagai satu faktor untuk ‘you twist’, jadi ia tidak baik,” katanya. Bagaimanapun, beliau menegaskan kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Onn Hafiz fokus kepada pentadbiran serta kestabilan politik. Januari lalu, Ketua PH Johor, Aminolhuda Hassan, berpendapat konsep ‘free for all’ mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan dalam mewujudkan kerjasama dengan BN di negeri itu. Aminolhuda berkata, ketiadaan pembabitan PH dalam pentadbiran Johor juga dapat dilihat apabila tiada wakilnya dilantik ke jawatan akar umbi seperti ahli majlis, ketua kampung serta GLC.

Share this post: