TheMalaysiaTime

Tamim di Arab Saudi, kes tangguh ke 17 Mei

2026-03-17 - 10:34

Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas dakwaan merosakkan simbol suci agama Hindu. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Kes Tamim Dahri Abdul Razak, yang dijadualkan dituduh di mahkamah kerana merosakkan simbol suci penganut Hindu, ditangguhkan ke 17 Mei selepas Mahkamah Majistret Langkawi dimaklumkan bahawa aktivis itu kini berada di Arab Saudi. Semasa prosiding di hadapan Majistret Hemy Annerina Haja Mydin, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Halim memohon tempoh sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan Tamim dihadapkan ke mahkamah, lapor Utusan Malaysia. Khairul memaklumkan bahawa Tamim melakukan perjalanan ke Riyadh melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok. Bagaimanapun, Khairul berkata masih belum jelas sama ada Tamim memasuki Arab Saudi menggunakan visa pelancong atau visa umrah, yang membenarkan tempoh penginapan yang berbeza. Majistret Hemy Annerina kemudiannya menetapkan 17 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. Semalam, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata polis mengesan Tamim di Thailand dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu untuk membawa pulang aktivis berkenaan. “Kita akan mendapatkan kerjasama yang berterusan dengan pihak berkuasa Thailand bagi memastikan beliau dibawa pulang dan didakwa,” katanya Menurutnya, Tamim akan didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas dakwaan merosakkan simbol suci agama Hindu. Aktvis itu sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas memuat naik satu video merosakkan ‘soolam’ yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Kedah.

Share this post: