TheMalaysiaTime

Tambah 17 kerusi DUN Sarawak bukan permintaan terlalu besar, kata Nancy

2026-03-08 - 13:33

Menurut Nancy Shukri, perwakilan etnik adalah antara faktor yang dipertimbangkan ketika pengagihan kerusi sebelum ini, semasa era pentadbiran bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud. PETALING JAYA: Kerajaan Sarawak tidak keterlaluan apabila mahu menambah 17 lagi kerusi DUN, kata Ahli Parlimen Santubong Nancy Shukri. Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan wakil rakyat berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat, memandangkan saiz negeri yang luas dan komunitinya yang pelbagai. Mengulas komen mendakwa permintaan Sarawak dalam isu peluasan DUN terlalu besar, beliau berkata, kerajaan negeri ‘hanya meminta apa yang sememangnya hak kami’ bagi memudahkan proses pentadbiran dan membantu rakyat. “Kami berhak minta agar perkara ini dipertimbangkan secara adil dan saksama,” katanya, lapor Dayak Daily. Nancy yang juga naib ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, kerusi tambahan tersebut perlu diagihkan sama rata, mengambil kira pelbagai kumpulan etnik di negeri itu, termasuk Melayu, Iban, Bidayuh, Cina dan Orang Ulu. “Setiap kumpulan harus mempunyai perwakilan yang sewajarnya,” katanya. Menurutnya, perwakilan etnik adalah antara faktor yang dipertimbangkan ketika pengagihan kerusi sebelum ini, semasa era pentadbiran bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud. “Sebagai contoh, mereka lihat kumpulan mana dalam kalangan Orang Ulu yang belum diwakili sekiranya kaum Kelabit dan Kenyah sudah mempunyai wakil,” katanya. Nancy berkata, keputusan akhir mengenai pengagihan kerusi akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi PBB. DUN Sarawak pada Julai lalu meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk menambah bilangan kerusi daripada 82 kepada 99. Bagaimanapun, perubahan itu hanya akan berkuat kuasa selepas diluluskan oleh Parlimen dan peta kawasan pilihan raya dilakar semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dalam proses persempadanan semula. Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Ahli Parlimen Kapit Alexander Nanta Linggi bulan lepas berkata, belum ada garis masa yang jelas ditetapkan mengenai tarikh RUU tersebut akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Beliau juga tidak pasti sama ada penambahan kerusi itu sempat dilaksanakan menjelang PRN akan datang, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada Februari 2027.

Share this post: