TheMalaysiaTime

Takungan air Empangan Muda kritikal, tinggal 8%

2026-03-26 - 05:51

Empangan Muda sangat penting dan berperanan mengumpul air sebelum menyalurkan kepada Empangan Pedu untuk penyaluran air pengairan ke kawasan Muda bagi tanaman padi. (Gambar Bernama) ALOR SETAR: Takungan air di Empangan Muda di Sik berada pada paras rendah dan membimbangkan apabila hanya merekodkan sekitar 8.04% atau 10,050 ekar kaki, setakat hari ini. Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Ismail Salleh berkata Empangan Muda sangat penting dan berperanan mengumpul air sebelum menyalurkan kepada Empangan Pedu untuk penyaluran air pengairan ke kawasan Muda bagi tanaman padi. “Isunya di sini, selepas beberapa bulan kemarau, paras takungan air di Empangan Muda berada pada tahap sekitar 8%, tahap yang sangat rendah. Kalau dicampurkan semua, Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning berada sekitar 39%. “Pada paras itu, kalau hendak lepaskan air pun, kita sarankan untuk domestik loji rawatan air (LRA) sahaja. Keadaan ini serius kerana ia memberi kesan langsung kepada bekalan air terutama bagi kegunaan pengairan sawah padi,” katanya menerusi penerangan di akaun TikTok rasminya. Ismail berkata dalam masa terdekat, Mada akan bermesyuarat bagi memulakan musim tanaman 1/2026 dan melihat kepada jumlah paras takungan air di ketiga-tiga empangan itu, keadaan tidak mengizinkan untuk melepaskan air dan merancang untuk melaksanakan kaedah tabur terus kering. “Kita telah berjumpa dengan peladang bagi memberi penerangan, dalam tempoh tiga minggu ini, kita jangka musim 1/2026 bermula, jadi memang berharap hujan turun, kalau tidak, memang tiada pilihan kena guna kaedah itu juga kerana jadual tidak boleh ditunda lama. “Pelbagai usaha telah dilaksanakan sebelum ini termasuk penganjuran solat sunat istisqa’ serta operasi pembenihan awan, namun masih belum membuahkan hasil. Kita akan terus berusaha dan pada masa sama mengajak semua pihak untuk bersama-sama berdoa agar hujan turun,” katanya. Menurut data di laman web rasmi Mada, Empangan Muda mencatatkan jumlah takungan paling rendah iaitu 10,050 ekar kaki (8.04%), Empangan Pedu 349,030 ekar kaki (39.89%), manakala Empangan Ahning 121,089 ekar kaki (54.30%).

Share this post: