TheMalaysiaTime

Taktik perang Trump vs taktik perang Iran

2026-03-19 - 01:20

Iran negara pertama di Asia Barat yang memperkenalkan raja berpelembagaan pada tahun 1905. Selepas Revolusi Iran, negara ini mengkehendaki presiden dan parlimen dipilih setiap empat tahun sekali. Tempoh presiden dihadkan kepada lapan tahun sahaja. Parlimennya mengandungi 290 ahli yang ikut dipilih empat tahun sekali. Untuk menjadi ahli parlimen, calon mestilah memiliki ijzah sarjana atau setara, selain tidak ada kesalahan jenayah. Untuk memilih seorang pemimpin tertinggi seperti Ali Khamenei pula, ia dilakukan oleh 88 orang ulama yang turut dipilih setiap lapan tahun sekali. Parlimen Iran turut memperuntukkan kerusi untuk minoriti di mana Kristian beroleh dua kerusi, Yahudi satu kerusi dan Majusi satu kerusi. Dalam keadaan ini, demokrasi Iran setanding dengan demokrasi Amerika Syarikat cuma pendekatannya lain. Gambaran bahawa Iran negara teokrasi yang tiada ruang bersuara adalah kurang tepat. Maka cita-cita AS untuk membebaskan Iran atas nama demokrasi seronok untuk digelakkan. Namun, propaganda di seluruh dunia berbeza untuk memomokkan Iran. Ada yang bertanya kepada saya, bagaimana AS akan dapat keluar dari perang Ramadan ini. Untuk mengalahkan Iran, AS memerlukan sesuatu yang besar untuk menghasilkan impak dan mengisyiharkan diri menang. Kali ini modal demokrasi tidak lagi laku di seluruh dunia, tambahan setelah fail Epstein terdedah. Sejujurnya saya tidak nampak jalan kemenangan untuk AS. Untuk menutup malu kerana sedang kalah sekarang, AS nampaknya mulai menghebah-hebohkan naratif yang Iran berkemampuan menyerang AS dari jauh, dan California berada dalam ancaman itu. Hal ini mulai dimain-mainkan, konon FBI dalam satu buletin keselamatan mendakwa mereka memperoleh maklumat bahawa setakat awal Februari 2026, Iran bercita-cita melancarkan serangan mengejut menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) dari sebuah kapal di laut terhadap sasaran di California sekiranya AS menyerang Iran. Malah ada beberapa insiden aneh sudah berlaku di beberapa tempat di AS. Serangan palsu itu akan ‘mengizinkan’ AS membuat serangan balas, dan seperti serangan terhadap WTC di New York dalam insiden 11 Sept, AS pun menyerang Iraq dan Afghanistan setelahnya. AS malah mungkin menggunakan senjata yang luar biasa, mini nuklear katakan. Jadi ramai yang bertanya kepada saya, jika demokrasi tidak lagi boleh dijual di Iran, bagaimana AS akan menang dalam perlawanan dengan Iran nanti? Jawapannya, memang rumit. Iran sebuah peradaban lama. Ia wujud sebagai Parsi ribuan tahun lalu, sebelum masehi. Perang menjadi satu kearifan lokal di sana. Parsi juga pernah kalah berkali-kali dan semua kekalahan era pra-Islam itu dikaji dan dibaca. Parsi bukan macam kita, peradaban Melayu-Malaysia yang mendengar anjuran Syed Naquib al-Attas (diraja dan terpuji) agar berhenti membaca dan menyelidik yang sebelum Islam. Parsi, atau Iran masih ghairah mengkaji tamadun sendiri, mengenalnya dan dengan itu belajar bermacam-macam dari sejarah. Salah satu yang mereka pelajari dengan penuh khusyuk tentulah taktik perang. Apakah taktik perang Parsi zaman lampau yang kini dimanfaatkan oleh Iran dalam perang melawan AS dan Israel? Pertamanya, neutralkan musuh, khususnya jika musuh itu ‘lebih besar saiznya’ dari kita. Pada tahun 480 sebelum Masihi, Raja Parsi Xerxes berhasrat menawan Greece. Gerombolan perangnya besar dan hebat khususnya di pihak tentera laut Parsi memang gah dan bergengsi. Tetapi panglima Greece, Themistocles berjaya menukar kekuatan Parsi menjadi kelemahan. Apa yang dilakukan Greece ialah menarik perhatian tentera laut Parsi untuk menempuh selat sempit Salamis. Dalam air yang cetek dan saiz yang demikian ketat itulah Greek menghunjam Parsi sehingga kalah. Iran hari ini belajar dari sejarah lalu. Maka ia menjadikan taktik perang Themistocles itu kini sebagai taktik perangnya. Medannya kini ialah Selat Hormuz, tengkuk dunia yang sempit dan kecil. Di situ laluan segala minyak, gas asli, makanan, barang dagang dunia dari Asia Barat dan negara Teluk untuk seisi dunia. Mengawal tengkuk sempit dunia ini, Iran boleh memporak perandakan dunia. Iran boleh melakukannya sejak dulu, tetapi Iran paling penyabar ketika berdepan berpuluh tahun sekatan ekonomi. Iran paling bermoral dan tidak melakukannya. Iran diam dan memerhatikan negara Teluk seperti UAE berjimba berpesta. Kini setelah Ali Khamenei dibunuh, pemimpin tertinggi mereka yang baharu, juga seorang Khamenei tidak memberi peluang itu berlaku lagi. Iran bukan sahaja menetapkan syarat yang kapal yang lalu hendaklah dari negara yang mengusir duta Israel, kini ia juga mengancam wibawa petro-dollar dengan mengatakan untuk melintas selat ini, kapal itu harus membayar duti di dalam mata wang Cina iaitu Yuan. Taktik ini bukan sahaja menjerut dunia, kerana ekonomi seluruh dunia akan runtuh ekoran tengkuk dicekik, tetapi Iran juga ingin melumpuhkan dolar. Taktik meneutralkan musuh inilah juga yang mendorong Iran menghentam semua pangkalan tentera AS yang berada di negara Teluk seperti Bahrain, Qatar, UAE, Kuwait dan Arab Saudi. Iran menegaskan yang mereka menghormati jiran, tetapi jika musuh mereka melancar serangan untuk membunuh kanak-kanak dari wilayah jiran itu, mereka tidak ada pilihan lain. Dalam banyak keadaan, sebelum menyerang wilayah jirannya Iran sempat memesan dulu, agar orang awam menghindari kawasan sasaran iaitu aset Zionis. Kedua, Iran juga belajar daripada Iskandar Zulkarnain. Di dalam tradisi Syiah, Iskandar Zulkarnain adalah Raja Cyrus dari Parsi. Bukan dari Macedonia. Hal ini banyak diperkatakan malah telah diputuskan oleh mufassir Iran terkenal, Allamah Tabatabaei. Ada juga yang menolak Alexander the Great sebagai Iskandar Zulkarnain. Ada pula membahaskan ia manusia berbeza. Tetapi itu bukan poin yang ingin saya selongkari. Itu dapat dibahas di topik lain. Seperti yang kita ketahui, Iskandar Zulkarnain adalah raja takluk. Punya hebat Iskandar Zulkarnanin, dunia Melayu tanpa segan silu turut ingin mengaku ada yang datang dari darah keturunan Alexander the Great itu. Tetapi bagaimana Iskandar melakukannya? Menawan seluruh dunia dan menumpaskan musuh paling hebat dari semua medan perangnya? Iskandar memperkenalkan taktik perang ‘mara perlahan, atau mara lambat’. Iskandar tidak percaya taktik perang kilat, ‘speed was the wrong tactic’, tetapi itulah yang ingin dilakukan oleh Donald Trump dan Benjamin Netanyahu. Mereka percaya mereka boleh melumpuhkan Iran sebaik sahaja Ali Khamenei dibunuh. AS berharap Iran jatuh sebaik sahaja diserang. Mereka menyangka Iran adalah Venezuela. Trump silap. Kemaraan lambat di medan perang bukan sahaja memenatkan musuh yang tergesa, dan sudah kalah dari segi moral, tetapi mara lambat dan perlahan juga membolehkan Iran menguasai massa, membujuk dan memupuk serta membakar semangat tentera dan rakyat. Kita lihat kini, bukan sahaja tentera dan bangsa Iran sedang bersemangat. Pembantaian di Gaza menjadikan AS dan seluruh kuasa Barat duduk sebakul dengan Zionis dan selamat untuk dihujahkan, mereka ini dibenci di seluruh dunia. Dengan mara lambat begitu Iran boleh menarik perhatian dan sokongan seluruh Iran, dan bukan sahaja Iran, tetapi seisi dunia dan semesta alam. Trump adalah raja kasino dan kini digelar raja pedofil, tentu Trump tidak pernah mendengar ungkapan Napoleon Bonaparte (1769-1821) raja Perancis yang menawan separuh Eropah. Kata Napoleon, “Apa yang aku kagumi dengan Alexander bukan sangat kempen perangnya, tetapi cara ia menguasai rentak politik ketika berperang, dia menguasai seni memenangi hati manusia dan itu meletakkannya di hadapan.” Ketiga, Iran sebaik sahaja terdirinya sebagai republik Islam mengalami sekatan ekonomi dan penindasan yang dahsyat dari negara sekeliling. Iran juga terpaksa berdepan dengan Iraq selama lapan tahun antara 1980 sehingga 1988 yang mana Iraq di bawah kegilaan Saddam menggempur Iran hari demi hari. Meskipun perang itu telah berakhir lebih tiga dekad, tetapi buku sejarah Iran tidak memadamkannya. Ia diajari di sekolah, bahkan filem dan sinema Iran masih menggunakan episod ini untuk menjadi bahan perfileman. Karya sastera mereka masih menonjolkan subjek ini. Topik ini digelar sebagai ‘sacred defense art’ yang menekankan perlawanan, kesyahidan dan kesabaran bangsa Iran sepanjang sedekad yang sukar itu. Makanya rakyat lali dengan cerita perang. Jadinya jika pun generasi Z yang lahir setelah 1988 tidak mengalami era perang itu, mereka terbiasa mendengar kisahnya di sekolah, di rumah, di kampung halaman, di masjid, dan di mana jua mereka berada. Jika kita bandingkan dengan Malaysia, adakah tragedi 1MDB yang merugikan negara sudah ada di dalam buku teks sejarah? Ini supaya generasi mendatang bencikan penggubahan wang haram dan korupsi. Iran tahu untuk menang, mereka harus memiliki aset paling besar iaitu rakyatnya. Persediaan itu untuk menyuruh rakyat menjadi berani. Maka tidaklah menghairankan di kala Tehran sedang dihujani peluru berpandu dan tembakan dari pesawat Amerika dan Israel, rakyatnya sejak lebih 10 hari setiap siang malam membanjiri jalan raya menunjukkan mereka tidak takut. Ungkapan yang disebarkan adalah keberanian akan menggerunkan musuh. Malah walau dibom, mereka tidak lari. Pemimpin Iran seperti Ali Larijani, atau menteri luarnya yang kini terkenal, Abbas Aragchi, selamba berjalan di tengah khalayak. Presiden Massoud Pezeshkian di tengah Tehran berselfie dengan rakyat tanpa rasa takut sepicing pun. Makanya keberanian yang luar biasa ini membuatkan musuh patah semangat. Meskipun sekolah dan hospital dibom, rakyat tidak berganjak, malah itu semua membikin mereka menjadi marah dan menukar tenaga itu menjadi semangat yang melonjak. Nah, di sinilah taktik-taktik Iran sedang mengalahkan taktik AS dan Israel. Perang ini akan berlangsung lama, meskipun sebaik peluru berhenti berdesing ia akan tetap berlanjutan. Blok Kebenaran akan menang, dan blok Epstein si pedofil akan tumpas. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: