TheMalaysiaTime

Takiyuddin calon terbaik PAS untuk jawatan ketua pembangkang, kata penganalisis

2026-03-19 - 01:41

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan ada pengalaman sebagai menteri dan pernah menguruskan proses perundangan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, sebagai calon paling sesuai bagi jawatan ketua pembangkang, dengan mengambil kira pengalaman parlimen serta kepakaran perundangannya. Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata prospek PAS mengambil alih peranan itu sejak kali terakhir digalas Hadi Awang pada 2004 membawa makna yang simbolik dan strategik. “PAS kini merupakan parti dengan jumlah kerusi terbanyak dalam PN. Jika jawatan ketua pembangkang dipegang oleh pemimpin PAS, ia akan menandakan peralihan imbangan kuasa dalam PN daripada Bersatu kepada PAS. “Ini akan mengukuhkan imej PAS sebagai tulang belakang pembangkang, bukan sekadar parti komponen,” katanya kepada FMT. Walaupun beberapa nama disebut, Awang Azman berkata calon terbaik berkemungkinan besar akan dipilih adalah dalam kalangan Ahli Parlimen PAS yang berpengalaman. “PAS memerlukan seseorang yang bukan sahaja setia kepada parti, tetapi juga mahir berbahas, memahami prosedur Parlimen dan mampu berinteraksi secara strategik dengan media serta kerajaan. “Takiyuddin lebih hampir kepada profil tersebut. Beliau mempunyai pengalaman sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan pernah menguruskan proses perundangan. “(Naib presiden PAS) Idris Ahmad lebih menonjol dari segi komunikasi politik dan hubungan akar umbi, namun dari sudut teknikal Parlimen, Takiyuddin dilihat lebih sesuai,” katanya. Awang Azman turut berkata sukar bagi Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, untuk memikul peranan itu kerana masih memegang tanggungjawab besar sebagai menteri besar Terengganu. “Menguruskan kerajaan negeri dan pada masa sama menjadi ketua pembangkang di Parlimen bukan tugas ringan. Tambahan pula, beliau masih dilihat sebagai pemimpin peringkat negeri,” katanya. Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat Bersatu mempunyai calon yang lebih kuat bagi jawatan ketua pembangkang. Beliau berkata kemungkinan wujud pertukaran kepentingan apabila Bersatu membenarkan PAS mengambil alih jawatan pengerusi PN, dengan jangkaan PAS akan membenarkan calon Bersatu pula dilantik sebagai ketua pembangkang. “Malah Takiyuddin mungkin sukar menandingi prestasi Ketua Pembangkang ketika ini, Hamzah Zainudin. “Jika PAS bertegas untuk mengekalkan jawatan ketua pembangkang, maka Samsuri adalah pemimpin yang ideal kerana beliau ialah pengerusi PN. Ketua pembangkang seharusnya berada di barisan hadapan PN. “Bersatu mempunyai ramai ahli politik dengan ciri-ciri ketua pembangkang. PN perlu menunjukkan bahawa ia berkeupayaan menawan Putrajaya dan mentadbir negara,” katanya. Terdahulu, Takiyuddin berkata Samsuri merupakan antara calon yang dipertimbangkan bagi jawatan ketua pembangkang susulan kedudukannya sebagai pengerusi PN, dengan keputusan dijangka dibuat menjelang awal bulan depan. Beliau menambah, antara kebimbangan utama ialah sama ada pelantikan Samsuri akan mengganggu tanggungjawabnya sebagai menteri besar. Hamzah, bekas timbalan presiden Bersatu, sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk berundur sekiranya majoriti ahli Parlimen PN menyokong langkah tersebut.

Share this post: