Tak wajib MyNllSe bagi semua pengguna
2026-03-04 - 04:33
Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah berkata keperluan MyNIISe selaras peningkatan pergerakan rentas sempadan, cabaran keselamatan global serta mempertingkatkan kapasiti dan pemodenan sistem imigresen. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Penggunaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNllSe) yang akan diperluaskan dan mula berkuat kuasa di pintu masuk negara awal suku kedua tahun ini tidak diwajibkan kepada semua pengguna. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata kerajaan masih mengekalkan pelbagai kaedah pelepasan imigresen seperti penggunaan pasport fizikal di kaunter, pintu pagar automatik (autogate) dan pengesanan biometrik. “Ini bagi memastikan rakyat dan pengembara mempunyai pilihan sesuai dengan keperluan masing-masing. “Bagi aplikasi MyBorderPass pula, pelaksanaanya sebelum ini sebagai langkah sementara melalui pendekatan ‘proof of concept’ bagi menangani kesesakan di pintu masuk utama negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara. Beliau menjawab soalan tambahan Senator Robert Lau Hui Yew berhubung dakwaan tersebar di media sosial bahawa sistem MyNllSe akan diwajibkan pada tarikh tertentu dan menggantikan sistem MyBorderPass. Shamsul Anuar berkata, tiada sebarang tarikh rasmi ditetapkan untuk penggunaan aplikasi itu sebagai mandatori dan kerajaan akan melaksanakan peluasan penggunaan secara berfasa bagi memastikan pengurusan imigresen lebih teratur serta bersepadu. “Pendekatan ini bagi membolehkan kerajaan melaksanakan transformasi sistem imigresen secara berperingkat dan terkawal sambil memastikan keselamatan sempadan serta kelancaran pergerakan di semua pintu masuk negara sentiasa terpelihara.” Menurutnya, keperluan penggunaan MyNIISe selaras peningkatan pergerakan rentas sempadan, cabaran keselamatan global serta mempertingkatkan kapasiti dan pemodenan sistem imigresen, seiring amalan terbaik di peringkat antarabangsa.