TheMalaysiaTime

Tak perlu ‘cukai durian runtuh’ terhadap Petronas, kata ahli ekonomi

2026-03-27 - 05:01

Petronas sudah lama menunjukkan komitmen dalam membantu rakyat melalui pembayaran dividen tahunan besar selain cukai korporat setiap tahun kepada kerajaan. PETALING JAYA: Cadangan untuk mengenakan cukai durian runtuh sementara terhadap syarikat yang mendapat manfaat daripada lonjakan harga komoditi global dianggap tidak wajar ke atas Petronas, kata penganalisis ekonomi. Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, Petronas sudah lama menunjukkan komitmen dalam membantu rakyat melalui pembayaran dividen tahunan yang besar, selain cukai korporat setiap tahun kepada kerajaan. “Saya melihat Petronas sudah membuktikan komitmennya membantu rakyat dengan pembayaran dividen tahunan sebanyak RM32 bilion, selain cukai korporat yang dibayar setiap tahun,” katanya kepada FMT. Menurutnya, mekanisme sedia ada sudah mencukupi untuk memastikan kerajaan memperoleh hasil tambahan tanpa perlu memperkenalkan cukai baharu seperti cukai durian runtuh. Beliau mengulas cadangan Perikatan Nasional (PN) supaya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh sementara ke atas sektor dan syarikat mendapat manfaat lonjakan harga komoditi global, termasuk sektor minyak. Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata langkah itu bertujuan menyalurkan hasil tambahan untuk meringankan beban rakyat. Krisis di Asia Barat terutama membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang memuncak bulan ini menyebabkan harga minyak di pasaran global memuncak kepada lebih USD100 setong. Razman menjelaskan, walaupun kenaikan harga minyak global boleh meningkatkan keuntungan syarikat minyak dan gas, tetapi ia tidak semestinya menjamin keuntungan berganda secara automatik. “Sudah tentu dividen dan cukai dibayar akan meningkat jika keuntungan meningkat. “Namun, tidak perlu ada cukai durian runtuh dikenakan kepada Petronas kerana syarikat juga memerlukan dana untuk perbelanjaan modal. “Ia termasuk untuk meneroka tenaga baru dan menaik taraf infrastruktur sedia ada demi kelangsungan serta kelestarian industri,” katanya.

Share this post: