Tak perlu akta baharu tangani salah laku, seleweng dana awam, kata peguam
2026-03-25 - 00:11
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki baru-baru ini cadang akta baharu untuk tangani perbuatan jenayah oleh penjawat awam seperti yang dibentangkan dalam LKAN. PETALING JAYA: Para peguam menolak gesaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar undang-undang baharu digubal bagi menangani salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan dana oleh badan bukan kerajaan (NGO) kerana menurut mereka, ia hanya akan membazirkan sumber yang berharga. Mereka berkata, undang-undang sedia ada sebaliknya boleh dipinda untuk memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasaan bagi mendapatkan sabitan, serta memperkasakan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut. Peguam menegaskan, kerajaan pada tahun lepas telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyemak dan mereformasi undang-undang jenayah teras Malaysia, termasuk Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, dan Akta Keterangan 1950. Abdul Shukor Ahmad. Peguam Shukor Ahmad berkata, jawatankuasa tersebut, yang diketuai oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan Harminder Singh Dhaliwal, ialah pihak yang paling sesuai untuk mencadangkan penambahbaikan terhadap undang-undang sedia ada bagi menangani kebimbangan SPRM. “Sebelum ini, kita tidak perkenalkan undang-undang khusus untuk perangi keganasan, tetapi sekadar memasukkan peruntukan baharu dalam Kanun Keseksaan,” katanya, bagi menjelaskan bagaimana kesalahan berkaitan keganasan diperkenalkan tanpa memerlukan undang-undang yang tersendiri. Shukor mengulas perkara itu selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Isnin mencadangkan penggubalan akta baharu bagi menangani perbuatan berunsur jenayah dalam jawatan awam yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). Azam juga telah mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya kebajikan, melalui perundangan, untuk mencegah penyalahgunaan derma yang dikumpul oleh NGO. Shukor menyuarakan kebimbangan bahawa penggubalan undang-undang berasingan yang menyasarkan penjawat awam mungkin menimbulkan isu perlembagaan memandangkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan dan perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Beliau juga mengakui, walaupun tindakan sivil boleh diambil terhadap penjawat awam yang melakukan salah laku dalam jawatan awam, batasan mengenai apa yang disifatkan sebagai salah laku jenayah masih ‘sangat kabur’. “Namun sekiranya ia melibatkan rasuah atau salah guna kuasa, maka peruntukan Akta SPRM 2009 akan diguna pakai,” katanya kepada FMT. Shukor berkata, penjawat awam juga boleh berdepan tindakan tatatertib atas salah laku, yang mendedahkan mereka kepada pelbagai bentuk hukuman, termasuk dibuang kerja. Amer Hamzah Arshad. Menurut peguam Amer Hamzah Arshad, Kanun Keseksaan sudah mengandungi bab khusus yang menangani kesalahan yang dilakukan oleh penjawat awam, termasuk menerima suapan atau memperoleh barang berharga tanpa pertimbangan. Beliau berkata, bab tersebut boleh dipinda untuk memasukkan pelbagai senario yang dibangkitkan oleh ketua pesuruhjaya SPRM itu, termasuk penyelewengan dana awam oleh penjawat awam. “Jika perlu, istilah ‘penjawat awam’ (public servant) dalam Kanun Keseksaan boleh ditukar kepada ‘pegawai awam’ (public official), dengan definisinya diperluas,” katanya. “Kategori individu yang diliputi boleh diperluas secara nyata untuk merangkumi anggota pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun berkaitan yang lain.” Amer Hamzah berkata, Akta Pertubuhan 1966 juga boleh disemak semula untuk memberi kuasa kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi menangani penyalahgunaan dana yang dikumpul daripada orang awam oleh badan bukan kerajaan. Perlu ‘alatan’ lebih tajam Peguam Kitson Foong berkata, undang-undang yang dicadangkan oleh SPRM kelihatan tidak perlu, memandangkan mekanisme yang diperlukan sudahpun wujud tetapi kurang dimanfaatkan. Kitson Foong. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa sedikit penambahbaikan mungkin diperlukan agar undang-undang tersebut seiring dengan peredaran zaman. “Langkah ini akan memberikan pihak berkuasa set alatan yang lebih tajam untuk bertindak,” katanya kepada FMT. “Undang-undang semasa kita digubal untuk jenayah abad ke-20, namun kita kini berdepan dengan ‘rasuah skala besar’ dan kutipan derma digital abad ke-21.” Foong menambah, cadangan undang-undang baharu itu tidak akan bermakna tanpa iltizam politik untuk menguatkuasakannya dengan sepenuhnya. “Kita tidak semestinya perlukan lambakan akta yang lebih besar. Kita perlukan cara yang lebih berkesan untuk pastikan pemegang amanah yang cuai dipertanggungjawabkan,” katanya.