TheMalaysiaTime

‘Tak payahlah’ balik Umno, Hamzah mahu fokus agenda ‘reset’

2026-03-09 - 14:04

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mahu tumpu usaha ajak semua parti termasuk Umno kerjasama selamatkan negara menerusi agenda ‘reset’. PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mengesahkan beliau tidak akan kembali kepada Umno susulan keterbukaan parti lamanya itu menerima semula bekas ahli tanpa syarat menerusi gagasan Rumah Bangsa. Sebaliknya, Ahli Parlimen Larut itu mahu menumpukan pada usahanya mengajak semua parti termasuk Umno untuk bekerjasama menyelamatkan negara menerusi agenda baharu. “Tak payahlah masuk (Umno semula),” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Pembangkang hari ini, yang turut dihadiri beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau; Presiden MIPP P Punithan; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Awang Hashim; Presiden MIC SA Vigneswaran; dan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir. Hamzah menegaskan ramai pemimpin daripada pelbagai parti turut bersama dengannya dalam usaha memperkukuh agenda ‘reset’ dibawanya. “Kalau kita mahu lakukan pembetulan, kita perlukan kekuatan. Sepatutnya Umno (juga) menjadi salah satu pihak yang patut bersama dalam perjuangan (reset) ini,” katanya. Menurutnya, beberapa perkara memerlukan perhatian serius bagi memastikan negara memperoleh momentum baharu dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu semasa. “Yang penting bagi saya, semuanya bersetuju untuk kita ‘reset’ keadaan yang berlaku pada hari ini,” katanya. Terdahulu, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, parti itu membuka pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti itu. Semalam dilaporkan Annuar Musa, bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang kini ahli PAS turut menyatakan tiada minat untuk kembali kepada Umno, sebaliknya lebih serasi bersama PAS. Beliau turut yakin ahli Umno lain yang menyertai PAS juga akan kekal bersama parti Islam itu.

Share this post: