Tak jelas sama ada program perusahaan Bumiputera menjadi, kata badan pemikir
2026-03-11 - 11:54
Menurut Ideas, program perusahaan Bumiputera perlu penanda aras prestasi lebih jelas dan koordinasi lebih kukuh. PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir menggesa agar penanda aras prestasi yang lebih jelas dan koordinasi lebih kukuh diwujudkan dalam program sokongan perusahaan Bumiputera kerana menurutnya, masih sukar untuk menentukan sama ada inisiatif tersebut berjaya melahirkan perniagaan yang berdaya saing. Menerusi dua kertas dasar baharu yang diterbitkan hari ini, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, banyak program kerajaan mengukur kejayaan melalui kadar penyertaan, capaian dan dana yang disalurkan, bukannya sama ada perniagaan tersebut berkembang, mengeksport atau berintegrasi ke dalam rantaian bekalan yang lebih luas. Kertas dasar bertajuk ‘Menterjemahkan Sokongan kepada Kejayaan: Menumpukan Dasar Perdagangan Bumiputera terhadap Hasil Perusahaan’ dan ‘Pelaksanaan Program Pembangunan Vendor (VDP) Bumiputera: Pemilihan, Pembangunan dan Graduasi’, meneliti ekosistem sokongan Malaysia untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera. Ideas berkata, bantuan berkaitan perdagangan untuk PKS Bumiputera, termasuk pinjaman, geran, latihan, bantuan pensijilan, pementoran dan promosi perdagangan, tersebar di pelbagai kementerian dan agensi yang mempunyai objektif berbeza. Sokongan tersebut disalurkan melalui pelbagai program merentas kementerian dan agensi, yang berisiko menyebabkan pertindihan dan ketidakseragaman dalam pelaksanaan, katanya. Ideas juga mendapati, laluan pembangunan untuk perusahaan tidak ditakrifkan dengan jelas, dengan ketelusan yang terhad mengenai bagaimana syarikat-syarikat berkembang daripada sokongan awal kepada penyertaan eksport. Isu serupa turut dilihat dalam Program Pembangunan Vendor Bumiputera, di mana pelaporan sering menumpukan kepada jumlah penyertaan dan petunjuk perolehan berbanding daya saing vendor atau kepelbagaian melangkaui firma rujukan (anchor firms). Ideas berkata, ketiadaan sistem yang disatukan untuk menjejaki kemajuan perusahaan menyukarkan usaha untuk menilai impak jangka panjang program-program ini. Bagi mengatasi jurang ini, ia mengesyorkan koordinasi yang lebih baik merentas kementerian dan agensi, penanda aras kejayaan yang lebih jelas memfokuskan pada pertumbuhan perusahaan dan penyertaan eksport, serta sistem pemantauan yang lebih kukuh untuk menjejaki perniagaan dari mula menyertai program hingga tamat (graduasi). Ketua Eksekutif Ideas Aira Azhari berkata, perbincangan mengenai dasar Bumiputera sering kali dipolitikkan, yang boleh menenggelamkan persoalan praktikal mengenai sama ada program tersebut menunjukkan prestasi yang baik. “Bagi kebanyakan usahawan yang membina perniagaan, apa yang paling penting adalah sama ada inisiatif ini benar-benar menyokong pertumbuhan dan daya saing mereka dalam rantaian bekalan. “Reka bentuk program dan koordinasi yang lebih kukuh adalah penting untuk merealisasikan perkara tersebut,” katanya.