TheMalaysiaTime

Tak hadir undi RUU, Ahli Parlimen Libaran masuk hospital, Saravanan ke upacara agama

2026-03-03 - 08:43

Ahli Parlimen Libaran Suhaimi Nasir (Umno) dan Ahli Parlimen Tapah M Saravanan (MIC) antara 8 Ahli Parlimen yang tidak hadir untuk undi blok di Dewan Rakyat semalam. SEPANG: Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menjelaskan Ahli Parlimen Libaran Suhaimi Nasir tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat semalam dan mengundi bagi rang undang-undang (RUU)untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kerana beliau dimasukkan ke hospital. Fahmi berkata, Ahli Parlimen Tapah M Saravanan juga tidak hadir kerana perlu menghadiri upacara keagamaan. “Saya difahamkan Ahli Parlimen Libaran berada di hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah memaklumkan bahawa beliau menghadiri upacara sembahyang,” katanya dalam sidang media hari ini. Petang semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun selepas undian tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan. Dalam undi blok berkenaan, 146 Ahli Parlimen menyokong RUU itu, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir. Sekurang-kurangnya 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi pindaan perlembagaan. Dilaporkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, manakala semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan menyokong RUU tersebut. Selain Suhaimi dan Saravanan, enam lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir terdiri daripada Hishammuddin Hussein (Sembrong); Larry Sng (Julau); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Henry Sum Agong (Lawas); Riduan Rubin (Tenom); dan bekas timbalan ketua menteri Sabah Jeffrey Kitingan (Keningau). BERITA LANJUT MENYUSUL

Share this post: