Tak bertanggungjawab kait saya dengan dakwaan Victor Chin, kata Ramanan
2026-03-25 - 08:00
R Ramanan berkata dakwaan Victor Chin diihat sebagai cubaan sengaja untuk mencemar nama baik PKR, Ahli Parlimennya dan kerajaan. SUNGAI BULOH: Naib Presiden PKR R Ramanan menyifatkan dakwaan ahli perniagaan Victor Chin mengaitkan dengan sindiket pengambilalihan paksa syarikat menerusi pakatan sebagai tidak bertanggungjawab. Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya. Ramanan berkata dakwaan Chin yang menamakan beberapa individu itu diihat sebagai cubaan sengaja untuk mencemar nama baik PKR, Ahli Parlimennya dan kerajaan. “Saya tidak pernah bertemu dengannya (Chin), saya tidak mengenalinya, dan saya tidak pernah bercakap dengannya. “Bagaimana saya boleh menerima RM9.5 juta daripada seseorang yang saya tidak pernah temui?” katanya pada sidang media. Beliau juga mencabar Chin untuk menamakan ‘Mr R’, yang didakwa sebagai orang tengah dalam sindiket korporat tersebut. Semalam, dalam dokumen setebal 40 muka surat, Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan telah meminta RM10 juta tunai untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dengan gerakan terbabit. Chin juga mendakwa seorang individu lain yang dikenali sebagai ‘Mr R’ bertindak bersama sindiket korporat untuk menguasai NexG Bhd dan pegangan saham berkaitan melalui paksaan serta sekatan terhadap hak pemegang saham. BERITA LANJUT MENYUSUL