Tak adil Bersih tuduh SPRM ‘senjata politik’ kerajan, kata Anwar
2026-03-06 - 06:33
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jawatankuasa khas menyiasat dakwaan pemilikan saham ketua SPRM dijangka mengemukakan laporan penemuannya hari ini. PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membidas badan pemantau pilihan raya, Bersih tidak adil kerana menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi senjata politik kerajaan. Beliau berkata, NGO itu tidak wajar membuat dakwaan sedemikian, sebaliknya perlu menunggu penemuan jawatankuasa khas menyiasat isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki. “Itu adalah pandangan Bersih, tapi tidak adil Bersih membuat kenyataan yang tidak bersih. “Nak buat tuduhan, tengoklah laporan dulu (baru) bagi jawapan. Kalau tidak, kalau nak pakai sergah begitu sahaja, saya tidak pertahankan,” katanya menurut Harian Metro selepas Program Ihya Ramadan Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya. Anwar berkata, jawatankuasa khas siasatan itu dijangka mengemukakan laporan penemuannya kepada beliau hari ini. Semalam, Bersih menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju SPRM yang didakwa semakin terpesong daripada mandat asalnya membanteras rasuah kepada menjadi senjata politik kerajaan. Ini menyusul tindakan SPRM mengeluarkan notis carian awam terhadap James Chai, bekas pembantu kepada bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli, yang didakwa Chai telah menggambarkannya sebagai pelarian. Bersih menggesa Azam meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terhadap agensi antirasuah itu. DAP turut menggesa RCI menyiasat pegangan saham Azam dan dakwaan beberapa pegawai SPRM terbabit pakatan memaksa pengambilalihan syarikat dengan menyediakan “perkhidmatan intimidasi” Bloomberg dalam laporannya mendakwa rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan untuk menekan eksekutif menjual saham dalam syarikat disasarkan. Satu lagi laporan Bloomberg mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat, yang didakwa melanggar pekeliling kerajaan pada 2024. SPRM dan Azam menafikan dakwaan itu, dengan Azam turut menyaman Bloomberg berhubung laporan pemilikan saham berkenaan dan menuntut ganti rugi RM100 juta.