TheMalaysiaTime

Tahun Baharu Cina: Ketegasan akidah atau ketakutan mengurus kepelbagaian?

2026-02-15 - 23:06

Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, wacana sama kembali mendominasi ruang awam: bolehkah orang Islam hadir ke rumah terbuka? Adakah ucapan tahniah mencairkan akidah? Perlukah umat Islam menjauhkan diri sepenuhnya? Perbahasan ini bukan sekadar soal hukum. Ia mencerminkan kegelisahan lebih mendalam dalam masyarakat iaitu antara keyakinan terhadap kekuatan akidah sendiri dan kebimbangan berdepan kepelbagaian. Islam secara asasnya tidak menolak kepelbagaian. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13 menyebut bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali. Ayat ini sering dipetik dalam wacana perpaduan. Namun, persoalannya adalah, adakah kita benar-benar menghayatinya atau sekadar mengulangnya dalam teks ucapan sahaja? Ritual atau budaya? Ada dalam kalangan penyelidik yang menegaskan Tahun Baharu Cina mempunyai unsur kepercayaan dan tidak wajar diraikan umat Islam. Hujah seperti ini berakar pada kebimbangan terhadap tasyabbuh (penyerupaan) dan potensi pengiktirafan terhadap kepercayaan lain. Penegasan ini tidak boleh dipandang ringan. Memelihara akidah adalah asas agama dan menjadi keutamaan dalam setiap pertimbangan hukum. Penyertaan dalam ritual keagamaan yang bercanggah dengan Islam sememangnya tidak dibenarkan. Namun, yang wajar dipersoalkan ialah kecenderungan meluaskan kategori ‘kepercayaan’ sehingga merangkumi semua bentuk interaksi sosial. Adakah menghadiri rumah terbuka tanpa menyertai ritual keagamaan, secara automatik menjadi pengiktirafan akidah lain? Dalam realiti Malaysia hari ini, sebahagian besar sambutan Tahun Baharu Cina berlangsung dalam bentuk kekeluargaan dan sosial di mana ia tidak lebih daripada makan bersama, ziarah, pemberian angpau dan ucapan tahniah. Sudah tentu perayaan itu mempunyai akar sejarah dan kepercayaan tertentu. Tetapi fiqh Islam secara tradisinya membezakan antara penyertaan dalam ibadah dan kehadiran dalam ruang hidup bermasyarakat. Tidak semua simbol budaya membawa makna teologi yang sama. Jika setiap bentuk interaksi sosial dianggap ancaman akidah, maka ruang pergaulan antara kaum akan semakin sempit. Ia bukan kerana Islam itu lemah, tetapi kerana kita kurang yakin mengurus perbezaan. Ketegasan agama akhirnya diterjemahkan sebagai pengasingan sosial. Retorik perpaduan vs realiti sosial Pendekatan ‘faham, hormat, terima dan meraikan’ sering diangkat dalam agenda perpaduan nasional, termasuk oleh Kementerian Perpaduan Negara. Namun, gagasan ini tidak akan bermakna jika masyarakat terus digerakkan oleh naratif ketakutan. Faham menuntut kita membezakan antara ritual agama dan amalan budaya. Mengaburkan perbezaan ini hanya menimbulkan kekeliruan. Faham juga menuntut penelitian konteks sebelum menjatuhkan hukum secara umum. Menghukum tanpa memahami realiti setempat hanya akan menjarakkan satu sama lain dalam masyarakat. Hormat ditegaskan dalam surah al-An‘am ayat 108 yang melarang mencaci sembahan agama lain. Prinsip ini menunjukkan bahawa Islam mengutamakan adab dalam perbezaan. Ironinya, dalam ekosistem media sosial hari ini, nada menghukum dan memperlekeh lebih cepat tersebar berbanding wacana ilmiah. Terima kepelbagaian adalah realiti yang tidak boleh dinafikan. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 256, ‘Tiada paksaan dalam agama’, menggariskan prinsip kebebasan beragama sebagai asas kehidupan bersama. Ini merupakan suatu prinsip yang mengiktiraf kewujudan masyarakat pelbagai kepercayaan tanpa memaksa keseragaman. Meraikan pula perlu difahami sebagai meraikan kebersamaan sosial, bukan meraikan akidah lain dan ia menuntut kematangan sosial. Rasulullah SAW hidup dalam masyarakat majmuk di Madinah dan membina Piagam Madinah sebagai asas tanggungjawab bersama. Baginda tidak mengasingkan diri daripada struktur sosial, tetapi memimpin dengan prinsip. Pertubuhan Ikram Malaysia setiap tahun memenuhi jemputan menghadiri sambutan perayaan Tahun Baharu Cina daripada pelbagai organisasi kaum Cina. Saya sendiri bersama dengan beberapa rakan daripada badan organisasi bukan kerajaan pelbagai bangsa dan agama sama-sama meraikan sambutan ini. Tahun ini juga IKRAM telah dan akan memenuhi beberapa jemputan demi menunjukkan komitmen kami mempromosi perpaduan dalam kalangan Masyarakat Malaysia. Cabaran negara bangsa Isu ini tidak boleh dipisahkan daripada konteks pembinaan negara bangsa. Usaha memperkukuh integrasi nasional seperti yang digerakkan oleh Kementerian Perpaduan Negara berdepan cabaran besar apabila isu perayaan dan simbol budaya disalahertikan. Mengakui bahawa Tahun Baharu Cina mempunyai akar kepercayaan tertentu tidak bermakna semua bentuk kebersamaan adalah haram secara total. Fiqh membezakan antara penyertaan dalam ibadah dan kehadiran dalam ruang sosial. Mengabaikan perincian ini bererti menyederhanakan tradisi hukum Islam yang sebenarnya kaya dan sungguh menyeluruh. Sambutan Tahun Baharu Cina akhirnya menjadi cerminan kematangan kita sebagai masyarakat. Jika prinsip ‘faham, hormat, terima dan meraikan’ benar-benar dihayati, ia mampu menjadi jambatan antara identiti agama dan tanggungjawab kewargaan. Islam tidak pernah mengajar pengasingan sosial. Yang dituntut ialah keteguhan prinsip dan keluasan hikmah. Dalam mengurus kepelbagaian, garisnya jelas: akidah dipelihara, hubungan kemanusiaan diperkasa. Di situlah keseimbangan perlu ditemukan dan di situlah masa depan negara bangsa Malaysia dipertaruhkan. Soalannya bukan sekadar ‘harus atau haram’. Soalan yang lebih besar ialah: apakah model masyarakat yang ingin kita bina? Adakah kita mahu negara bangsa yang matang mengurus perbezaan, atau masyarakat yang sentiasa curiga antara satu sama lain? Islam tidak menuntut umatnya mencairkan akidah demi perpaduan. Tetapi Islam juga tidak mengajar ketakutan terhadap interaksi kemanusiaan. Garisnya jelas iaitu akidah dipelihara, hidup bermasyarakat diurus dengan hikmah. Sambutan Tahun Baharu Cina akhirnya menjadi cermin kepada kematangan kita sebagai masyarakat Muslim dalam negara majmuk. Jika kita yakin dengan tauhid, kita tidak perlu melihat setiap ucapan tahniah sebagai ancaman. Sebaliknya, kita boleh berdiri teguh sebagai Muslim dan dalam masa yang sama menjadi warga negara yang menyumbang kepada kesepaduan nasional. Di situlah cabaran sebenar, bukan sekadar mempertahankan identiti, tetapi membuktikan bahawa keyakinan agama mampu berjalan seiring dengan tanggungjawab membina negara bangsa. Ini selaras dengan cita-cita membentuk Masyarakat MADANI yang inklusif, adil dan berperikemanusiaan. Penulis ialah ahli jawatankuasa pusat (ketua kluster perpaduan nasional) Pertubuhan Ikram Malaysia. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: