Tabika Perpaduan: Komunikasi asas bahasa ketiga bina generasi Madani
2026-03-16 - 04:54
Atas kesedaran itu, kerajaan menubuhkan Tabika Perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak yang bukan sahaja memberi asas pembelajaran, tetapi menjadi ruang penting untuk kanak-kanak memahami, menghormati dan menghargai kepelbagaian masyarakat. Tabika Perpaduan mula diwujudkan pada 1976 di bawah Rancangan Perhubungan Masyarakat, Lembaga Perpaduan Negara. Ketika itu, sebanyak 25 kelas perintis dibuka di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi menggalakkan interaksi antara kaum melalui pendidikan awal. Daripada usaha kecil itu, Tabika Perpaduan berkembang menjadi antara rangkaian prasekolah penting negara. Sehingga September 2025, terdapat 1,781 kelas Tabika Perpaduan di seluruh negara dengan 34,008 murid. Lebih penting, pendidikan di Tabika Perpaduan diberikan secara percuma tanpa yuran pendaftaran, selaras dengan komitmen kerajaan memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada pendidikan awal berkualiti tanpa mengira latar belakang keluarga. Penubuhan Tabika Perpaduan juga dirancang secara sistematik bagi memastikan persekitaran pembelajaran benar-benar mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Antara syarat pembukaan kelas ialah kawasan tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 200 unit rumah atau 500 penduduk, premis yang sesuai dan selamat, serta kehadiran kanak-kanak daripada pelbagai kaum. Tabika ini memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun, iaitu peringkat penting dalam pembentukan asas pemikiran, sikap dan nilai kehidupan. Pendekatan pembelajaran di Tabika Perpaduan turut menekankan pembangunan holistik melalui beberapa modul khusus. Antaranya Modul Pendidikan Rukun Negara, yang memperkenalkan lima prinsip Rukun Negara kepada murid melalui kaedah mesra kanak-kanak seperti permainan interaktif, simulasi, kad imbas dan tayangan video. Pendekatan ini membantu murid memahami nilai hormat, tanggungjawab dan kasih sayang terhadap negara sejak usia muda. Satu lagi keunikan Tabika Perpaduan ialah Modul Komunikasi Asas Pelbagai Bahasa. Modul ini memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai asas komunikasi dalam bahasa etnik utama di Malaysia. Melaluinya, murid diperkenalkan kepada bahasa Mandarin dan Tamil di Semenanjung Malaysia dan Labuan, bahasa Iban di Sarawak serta bahasa Kadazan di Sabah. Pendedahan ini boleh dianggap sebagai komunikasi asas bahasa ketiga, yang membolehkan kanak-kanak mengenali bahasa rakan daripada kaum berbeza sekali gus memupuk rasa hormat dan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya. Bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran, pelbagai program turut dilaksanakan sepanjang tahun di Tabika dan Taska Perpaduan. Antaranya Cilik Perpaduan Kembali ke Tabika dan Taska Perpaduan, Menu Sihat Perpaduan, Sukaneka Perpaduan dan Sambutan Hari Kanak-Kanak yang merangkumi aktiviti Usahawan Cilik, Senam Harmoni dan Cita-Cita Saya. Program lain seperti Pintar Kreatif, Hari Konvokesyen, Jelajah Tabika Perpaduan Dihatiku dan Sukaneka Perpaduan Prasekolah turut memperkukuh hubungan antara kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti. Dalam menghadapi era transformasi digital, pendidikan awal kanak-kanak perlu terus berkembang agar kekal relevan. Justeru, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) telah merangka beberapa inisiatif untuk memperkasa Tabika Perpaduan. Antaranya pembangunan Modul Pendidikan Rukun Negara baharu bermula 2026 hingga 2027 bersama agensi prasekolah lain, sebelum diperluaskan ke semua prasekolah di negara ini. Selain itu, latihan berstruktur melalui pendigitalan pendidikan perpaduan akan diperkenalkan bagi memperkasa profesionalisme guru. Guru Tabika Perpaduan akan dilatih menggunakan teknologi seperti smartboard, Google Classroom, Canva Edu dan Kahoot bagi menjadikan pembelajaran lebih kreatif dan interaktif. Kerajaan juga merancang menyediakan smartboard di semua Tabika Perpaduan secara berperingkat dari 2026 hingga 2028 bagi memperkasa pembelajaran digital dalam bilik darjah. Hakikatnya, Tabika Perpaduan bukan sekadar institusi prasekolah. Ia adalah ruang pertama di mana kanak-kanak belajar hidup bersama dalam kepelbagaian, memahami perbezaan dan membina persahabatan tanpa prejudis. Apabila kanak-kanak daripada pelbagai kaum bermain, belajar dan berkomunikasi bersama, mereka sebenarnya sedang membina asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang lebih harmoni dan bersatu. Perpaduan tidak boleh menunggu sehingga generasi muda dewasa. Ia perlu dibentuk sejak usia empat tahun, ketika nilai kehidupan mula berakar dalam diri seorang anak. Melalui Tabika Perpaduan, kita bukan sahaja mendidik anak-anak menjadi insan berilmu, tetapi juga membina generasi Malaysia yang menghormati kepelbagaian dan menjunjung semangat perpaduan demi masa depan negara. Penulis adalah menteri perpaduan negara. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.