TheMalaysiaTime

Syed Saddiq tak tanding pemilihan Muda kerana kes mahkamah

2026-03-02 - 07:14

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda perlukan kepimpinan yang bersih sebersih-bersihnya tanpa sebarang cela. PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau mengambil keputusan tidak bertanding dalam pemilihan sulung Muda kerana kes mahkamah yang dihadapinya masih berjalan. Bekas menteri itu berkata, beliau tidak mahu kes subahat dalam jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya menghalang Muda, parti yang diasaskannya, daripada terus maju ke hadapan. “Saya mengasaskan Muda dengan kepercayaan yang mudah tetapi tegas bahawa politik mestilah bersih sebersih-bersihnya dan kepimpinan mestilah suci tanpa sebarang cela. Malaysia berhak memiliki institusi yang lebih kuat daripada mana-mana individu,” katanya, sambil menambah bahawa kepercayaan ini tidak pernah berubah. “Atas sebab itu, dan alasan itu sahaja, saya memutuskan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti kali ini,” katanya dalam satu kenyataan. Syed Saddiq sebelum ini berkata beliau meletak jawatan sebagai presiden Muda susulan pertuduhan mahkamah atas dasar prinsip, kerana sesiapa yang memimpin parti dan beraspirasi untuk memimpin negara, mestilah seorang yang bersih. Katanya, selagi namanya belum dibersihkan sepenuhnya, beliau tidak akan memegang sebarang jawatan dalam Muda. Pada Jumaat, dilaporkan bahawa pemilihan Muda yang telah lama tertangguh akan diadakan pada 14 Mac ini. Pemilihan itu beberapa kali ditangguhkan sejak rancangan untuk mengadakannya diumumkan lebih setahun lalu. Muda ditubuhkan pada 2020 dengan Syed Saddiq dipilih sebagai presidennya. Beliau dituduh pada 2021 atas dakwaan bersubahat dalam jenayah pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram. Selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2023, beliau meletak jawatan sebagai presiden Muda. Pada Jun tahun lepas, Mahkamah Rayuan sebulat suara membebaskan beliau daripada semua pertuduhan, sekali gus membatalkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta. Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Share this post: