Syarikat didenda RM20,000 edar peranti vape berbentuk mainan
2026-03-05 - 07:24
Mahkamah Majistret Ampang menetapkan denda RM20,000 atau penjara enam bulan, jika syarikat itu gagal membayar denda. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Sebuah syarikat didenda RM20,000 kerana mengedar peranti rokok elektronik atau vape menyerupai mainan di sebuah premis sekitar Taman Kosas di Ampang tahun lalu. Jurucakap Kementerian Kesihatan (KKM) Selangor berkata, pihaknya menyerbu premis syarikat itu pada 19 Dis lalu yang mengimport dan mengedar peranti vape berbentuk alat mainan. Katanya, pegawai KKM Selangor merampas 159 peranti vape dan perasa rokok elektronik dianggarkan bernilai RM4,700 dalam serbuan itu. Menurutnya, menjual peranti vape menyerupai mainan adalah kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(2)(b)(i) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. “Orang kena saman (OKS) yang mewakili syarikat terbabit mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas kesalahan berkenaan,” katanya menurut Harian Metro. Beliau berkata, Majistret Amalina Basirah Md Top menetapkan denda RM20,000 atau penjara enam bulan, jika gagal membayar denda. Difahamkan, OKS membayar denda itu dan semua barang rampasan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk dilupuskan.