TheMalaysiaTime

Syarikat diasas Mahadi mengaku tak salah berniaga sekuriti tanpa lesen

2026-02-26 - 06:24

Usahawan Mahadi Badrul Zaman yang juga suami selebriti Heliza Helmi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan pada 23 Feb lalu atas dua tuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen. (Gambar X) KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan diasaskan usahawan Mahadi Badrul Zaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen. AUF MBZ Consortium PLT yang diwakili Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Izralizam Sanusi. Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, AUF MBZ Consortium PLT didakwa menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal, iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan ia bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah vila di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 14 Jun 2021 dan 15 Feb 2024. Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta sama yang membawa denda tidak lebih RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, K Mageswari tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat terhadap syarikat, bukannya individu. “Pihak kami memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini untuk dibicarakan bersama kes dihadapi Mahadi,” katanya dan perkara itu tidak dibantah peguam Zamri Idrus yang mewakili suami selebriti Heliza Helmi. Hakim kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dan menetapkan sebutan kes pada 10 April ini. Pada 23 Feb lalu, Mahadi mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah.

Share this post: