‘Surat khas’ tarik penggantungan Hishammuddin tak lagi berbangkit, kata pemimpin
2026-03-14 - 07:43
Kelmarin Hishammuddin Hussein berkata beliau tiada masalah kembali menyertai Umno susulan tawaran dibuka seluas-luasnya Presiden Zahid Hamidi. PETALING JAYA: Isu sama ada Umno perlu mengeluarkan ‘surat khas’ menarik balik penggantungan keahlian bekas naib presiden Hishammuddin Hussein tidak lagi berbangkit. Ketua Umno Sembrong, Abdul Ghani Abdul Rashid, berkata ia susulan tawaran dibuka seluas-luasnya Presiden Zahid Hamidi menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’ tanpa sebarang syarat. Katanya, keterbukaan pucuk pimpinan juga sekali gus menunjukkan tiada lagi keperluan mana-mana pemimpin yang dikenakan tindakan membuat rayuan. “Gagasan ‘Rumah Bangsa’ seperti diumum presiden, bagi Umno Sembrong ia membawa maksud penerimaan semula ahli parti tanpa sebarang syarat. Tiada lagi isu hukuman penggantungan atau keperluan merayu untuk kembali kepada parti,” katanya kepada FMT. Kelmarin, Hishammuddin berkata beliau tiada masalah untuk kembali menyertai parti itu susulan tawaran dibuka seluas-luasnya oleh Zahid, minggu lalu. “Kalau betul mereka ikhlas dan pucuk pimpinan tarik balik penggantungan, saya akan kembali terus berjuang dalam Umno,” katanya di Facebook. Sebelum ini, Umno Sembrong merayu pucuk pimpinan mengadili penggantungan keahlian Hishammuddin mengikut proses dan amalan parti termasuk kenyataan bertulis sebab penggantungan daripada lembaga disiplin, selain memberi peluang bekas ketua bahagian itu menjawab setiap pertuduhan terhadapnya. Sementara itu, Ghani berkata Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong akan menghantar surat secara peribadi kepada Zahid bagi menyatakan kesediaan kembali kepada Umno. “Sebagai dokumen, surat peribadi Hishammuddin yang menyatakan kesediaan untuk bersama semula dalam Umno akan diberikan kepada presiden parti,” katanya.