Sultan Pahang titah masjid, surau solat hajat, doa keselamatan negara Islam
2026-03-01 - 09:43
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah titah masjid dan surau mengadakan solat hajat selepas solat isyak malam ini. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan semua masjid dan surau di negeri itu mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan negara Islam. Mufti Pahang Asmadi Mohamed Naim, berkata pelaksanaan solat hajat atas titah Sultan Pahang juga diadakan bagi memohon perlindungan Allah SWT kepada rakyat Malaysia yang berada di sana daripada segala bentuk bencana, musibah, dan ancaman. “Solat hajat tersebut hendaklah dilaksanakan pada 1 Mac 2026 selepas solat isyak sebelum solat tarawih,” katanya menurut Bernama. Semalam media melaporkan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas Iran serta serangan balas berikutnya terhadap beberapa negara di rantau Timur Tengah iaitu Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, dan Qatar pada Sabtu. Kementerian Luar dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, serangan itu melanggar prinsip kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta larangan penggunaan kekerasan di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.