Sultan Pahang santuni anak yatim YKM, ceriakan persiapan Syawal
2026-03-01 - 06:33
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (kanan) dan Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob (kiri) menyantuni anak-anak yatim dalam Program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, semalam. (Gambar YKM) PETALING JAYA: Seramai 102 anak yatim di bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) Pahang diraikan dalam satu majlis penuh kasih sayang oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, bagi menyerikan persiapan sambutan Aidilfitri mereka. Sultan Abdullah yang diiringi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan anakanda baginda, berangkat mencemar duli menyantuni anak-anak tersebut dalam Program Membeli Belah Hari Raya Aidilfitri di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, semalam. Pengerusi YKM Ismail Sabri Yaakob berkata, program tahunan itu memberi peluang kepada anak-anak berkenaan untuk memilih sendiri kelengkapan raya, sekali gus memberikan pengalaman bermakna buat mereka yang kehilangan ibu bapa. “Bagi sebahagian daripada mereka, ini bukan sekadar membeli baju raya, tetapi merasai kasih sayang dan perhatian yang cukup bermakna khususnya daripada Kebawah Duli Tuanku dan anakanda Tuanku,” katanya dalam kenyataan. Tambahnya, keprihatinan institusi diraja Pahang itu mencerminkan teras sifat kasih sayang seorang raja terhadap rakyat yang kurang bernasib baik. Selain program membeli-belah, semua anak yatim tersebut turut diraikan dalam majlis berbuka puasa di sebuah hotel di Kuantan, yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi negeri dan barisan Exco kerajaan negeri Pahang. Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 yang akan disalurkan kepada 574 penerima bantuan YKM beragama Islam di seluruh negara sempena sambutan Syawal akan datang. Menurutnya, bantuan tersebut akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank penerima bermula 11 Mac ini.