Sultan Pahang masyhur UniPSAS sebagai Universiti al-Quran
2026-03-06 - 15:54
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memasyhurkan pertukaran nama universiti milik penuh kerajaan Pahang kepada Universiti al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UniQSAAS). (Gambar UniPSAS) KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan memasyhurkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan nama Universiti al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UniQSAAS). Majlis pengisytiharan itu disempurnakan di Balai Seri Temenggung, Istana Abdulaziz. Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta anakanda baginda lain. Pemasyhuran itu turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail. Pada majlis itu, Zambry menyembahkan warkah pertukaran nama universiti milik penuh kerajaan negeri Pahang berkenaan kepada Al-Sultan Abdullah. Pada 6 Feb, Al-Sultan Abdullah menzahirkan perkenan UnIPSAS dijenamakan sebagai UniQSAAS, sekali gus menjadi universiti pertama seumpamanya di negara ini. Al-Sultan Abdullah bertitah penjenamaan semula itu bukan sekadar perubahan nama, sebaliknya menjadi simbol hala tuju jelas dalam menjadikan al-Quran sebagai mercu tanda pembangunan ilmu dan rohani negeri.