TheMalaysiaTime

Suhakam mahu akses segera kepada kanak-kanak ditahan bawah Sosma

2026-03-09 - 11:23

Suhakam menegaskan bahawa sebarang peruntukan yang membenarkan penahanan kanak-kanak bawah Sosma wajar dimansuhkan sepenuhnya. PETALING JAYA: Pesuruhjaya kanak-kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak polis segera memberikannya akses kepada tiga kanak-kanak yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma. Mereka menegaskan penahanan kanak-kanak bawah Sosma bercanggah dengan Akta Kanak-kanak, yang menyatakan kanak-kanak yang ditangkap hendaklah dibawa ke Mahkamah bagi Kanak-Kanak dalam tempoh 24 jam. Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC) Suhakam menerangkan bahawa ia telah menghubungi polis sebanyak dua kali bagi memaklumkan hasrat untuk melawat kanak-kanak terlibat, bagi memastikan hak mereka dilindungi semasa berada dalam tahanan. “CC melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan berterusan dalam membenarkan OCC melawat kanak-kanak yang kini ditahan bawah Sosma, terutama apabila ketua polis negara menyatakan pihak polis akan mengambil pendekatan berhemah bagi memastikan identiti, maruah dan masa depan tiga suspek kanak-kanak itu dilindungi, selaras Akta Kanak-Kanak dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak. “Sekiranya jaminan tersebut benar-benar ingin dilaksanakan, OCC sewajarnya diberikan akses segera kepada kanak-kanak yang terlibat tanpa sebarang kelewatan,” menurut kenyataan. OCC menegaskan bahawa sebarang peruntukan yang membenarkan penahanan kanak-kanak bawah Sosma wajar dimansuhkan sepenuhnya. Polis mengumumkan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur dalam operasi melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi IS, bulan lalu. KPN Khalid Ismail mengumumkan suspek yang ditahan berusia 16 hingga 21 tahun, dan mereka dikesan merancang serangan ke atas balai polis, lokasi penting kerajaan, dan fasiliti kepentingan awam. Mereka ditahan Cawangan Khas dalam operasi dua hari di Lembah Klang, Johor, Kedah, dan Terengganu.

Share this post: