TheMalaysiaTime

Suhaili mahu pertahan Labuan pada PRU16 walau kini tanpa parti

2026-03-03 - 01:13

Suhaili Abdul Rahman mengalihkan sokongan daripada Bersatu kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 30 Okt 2023. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman tidak menolak bertanding atas tiket PKR, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau bebas dalam misi mempertahankan kerusi itu pada PRU16. Wakil rakyat yang terhenti keahlian kerana menyaman Bersatu pada 2023 berkata, selaku penyandang beliau mahu mempertahankan kerusi itu dan yakin mampu melakukannya. Dakwanya, tiada orang menyangka Perikatan Nasional (PN) mampu menawan kubu Barisan Nasional (BN) pada PRU15 lalu namun pengundi memilihnya atas faktor individu. Sebagai rekod, Suhaili pernah menjadi wakil rakyat Labuan selama dua penggal dari 1999 hingga 2008 atas tiket BN dengan mencatat kemenangan majoriti hampir 8,000 undi. “Kalau diminta PKR untuk bertanding saya akan terima tetapi kalau Pakatan Harapan (PH) dan BN ada kerjasama...pastinya BN jadi calon bukan saya. “Jadi, saya akan turun sebagai calon GRS atau bebas, itu sahaja. Tak akan bagi laluan mudah,” katanya ketika ditemui FMT. Bagaimanapun, Suhaili tidak mendedahkan sama ada beliau ada diberi tawaran untuk mempertahankan kerusi itu oleh parti terbabit. Pada PRU15, Suhaili kembali mewakili kawasan itu selepas menang dengan majoriti 708 undi dalam pertandingan enam penjuru. Bertanding atas tiket PN, Suhaili turut menewaskan penyandang Rosman Izli daripada Warisan yang pada PRU15 menang kerusi itu bawah logo BN. Pada 30 Okt 2023, Suhaili mengalihkan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Suara PN di Dewan Rakyat juga semakin mengecil apabila lima lagi Ahli Parlimen Bersatu menyokong Anwar iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Anwar. Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, dalam surat bertarikh 9 Julai 2025 memaklumkan enam wakil rakyat itu kekal Ahli Parlimen di sebalik undang-undang akta antilompat parti.

Share this post: