TheMalaysiaTime

Subsidi diesel di Sabah, Sarawak bukan keistimewaan, kata Salleh

2026-03-27 - 01:40

Salleh Said Keruak berkata tanpa konteks yang betul isu jurang harga diesel antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, mudah cetuskan persepsi tidak adil. PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak berkata susbsidi diesel yang diterima di Sabah dan Sarawak bukanlah satu keistimewaan tetapi mekanisme imbangan untuk menampung perbezaan antara kedua-dua negeri itu dengan Semenanjung. Beliau berkata jurang harga diesel antara Semenanjung dan negeri Borneo itu sering dijadikan isu di media sosial oleh pihak tertentu, tetapi tanpa konteks yang betul, ia mudah mencetuskan persepsi tidak adil. “Kos di Sabah dan Sarawak secara semula jadi lebih tinggi. Logistik bergantung kepada pengangkutan jarak jauh termasuk jalan darat dan laut. Rantaian bekalan lebih kompleks dan mahal, khususnya di kawasan luar bandar. “Faktor geografi menambah cabaran. Kawasan luas, penduduk berselerak, dan infrastruktur terhad meningkatkan kos pengedaran. Kesan kenaikan bahan api lebih cepat dirasai rakyat,” katanya di Facebook. Pada masa sama, kata Salleh, Sabah dan Sarawak menyumbang besar kepada sumber asli negara dan ini perlu diambil kira dalam pembentukan dasar. “Oleh itu, subsidi bukan keistimewaan, tetapi mekanisme imbangan untuk menampung perbezaan struktur ini. “Isu sebenar ialah persepsi. Tanpa penjelasan yang jelas, perbezaan dasar mudah dimanipulasi dan disalah tafsir,” katanya. Menurutnya, keadilan bukan bermaksud layanan sama, tetapi dasar yang mengambil kira realiti, sejarah, dan peranan setiap wilayah dalam Persekutuan. “Malaysia dibentuk pada 1963 sebagai satu perkongsian. Sabah dan Sarawak bukan negeri biasa. “Kedudukan ini diiktiraf di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan. Dasar perlu mencerminkan asas ini,” katanya. Harga untuk diesel untuk 26 Mac hingga 1 April ini ditetapkan pada RM5.52 seliter di Semenanjung, manakala di Sabah, Sarawak serta Labuan kekal dengan harga subsidi RM2.15 seliter. Semalam, Perikatan Nasional (PN) mendakwa perbezaan besar harga diesel di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan di kalangan rakyat. Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan mengakui penetapan harga RM2.15 seliter untuk pengguna di Malaysia Timur mempunyai justifikasi tertentu berkaitan struktur subsidi dan pertimbangan ekonomi wilayah. “Namun jurang harga terlalu besar berisiko mewujudkan persepsi ketidakadilan dengan pengguna dan perniagaan di Semenanjung kerana menanggung beban jauh lebih berat atau seolah-olah dihukum oleh kerajaan atas sebab-sebab tertentu. “Keadaan ini menuntut penjelasan telus dan jujur bagi mengelakkan kekeliruan serta persepsi negatif di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Share this post: