Subsidi bersasar perisai menjelang Raya, kekang kesan lonjakan harga minyak global
2026-03-20 - 08:41
Menjelang Raya, pendekatan subsidi bersasar membolehkan kerajaan terus melindungi isi rumah dan sektor produktif. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Malaysia berdepan kejutan yang ketara susulan lonjakan harga minyak global, namun langkah subsidi bersasar memberi perisai dan kelegaan kepada rakyat menjelang Aidilfitri, menurut penganalisis minyak dan gas. Jamil Ghani berkata kenaikan mendadak harga minyak sejak krisis Asia Barat melarat sejak Februari didorong oleh peperangan, gangguan bekalan serta ketidaktentuan di Selat Hormuz, laluan strategik bagi sebahagian besar bekalan minyak dan gas dunia. “Harga Brent yang sebelum ini sekitar USD70 hingga USD75 setong kini ada kalanya melepasi USD100. Ini bukan turun naik biasa, tetapi mencerminkan tekanan sebenar dalam pasaran tenaga global,” katanya. Menurut Jamil, semua negara terkesan dengan situasi itu maka keupayaan menyerap kejutan ini akan teruji. Dalam kes Malaysia, katanya, harga runcit minyak domestik kekal stabil apabila RON95 dikekalkan pada RM1.99 melalui mekanisme BUDI95, walaupun harga global minyak mentah dan kos berkaitan melonjak. “Itu bukan kebetulan. Ia hasil keputusan dasar yang dirancang untuk mengelakkan tekanan global dipindahkan terus kepada rakyat,” katanya. Beliau berkata pendekatan subsidi bersasar membolehkan kerajaan terus melindungi isi rumah dan sektor produktif tanpa menyerahkan sepenuhnya kepada harga pasaran. Antara mekanisme yang digunakan termasuk BUDI95 (program minyak bersubsidi khusus untuk warganegara), BUDI Individu (bantuan tunai bulanan kepada rakyat yang layak), serta BUDI Agri dan BUDI Komoditi (bantuan untuk petani, penternak dan pekebun kecil). Turut disediakan skim subsidi bahan api untuk sektor yang layak seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), meliputi 33 subsektor dan lebih 400,000 kenderaan. “Kesan dasar ini besar. Kos bahan api bagi pengguna utama kekal terkawal, sekali gus membantu mengekang kenaikan harga makanan, pengangkutan dan kos sara hidup secara keseluruhan,” katanya. Jamil menegaskan langkah-langkah tersebut melibatkan kos fiskal yang tinggi. Sebelum krisis, subsidi bahan api dianggarkan sekitar RM700 juta sebulan, namun kini melonjak melebihi RM3 bilion sebulan, iaitu lebih empat kali ganda. “Ini menunjukkan tekanan harga sebenar jauh lebih tinggi daripada apa yang dilihat pengguna di pam minyak. Pada masa sama, kerajaan sedang menanggung sebahagian besar beban untuk mengekalkan kestabilan,” katanya. Beliau turut menjelaskan dasar diesel menunjukkan pendekatan subsidi yang lebih bersasaran dan mengambil kira keperluan setempat. Di Sabah, Sarawak dan Labuan, harga diesel dikekalkan pada RM2.15 seliter berikutan kebergantungan tinggi komuniti luar bandar, petani dan nelayan. Di Semenanjung pula, sokongan disalurkan melalui skim bersasar seperti SKDS, SKPS dan BUDI Diesel, selari corak penggunaan yang lebih tertumpu pada sektor logistik dan komersial. “Walaupun struktur harga berbeza, prinsipnya sama, iaitu bantuan disalurkan mengikut keperluan ekonomi sebenar di lapangan,” katanya. Jamil berkata keupayaan Malaysia mengurus situasi ini disokong oleh kekuatan struktur ekonomi, termasuk kedudukan negara sebagai pengeluar minyak dan gas melalui Petronas. Katanya, walaupun Malaysia masih mengimport bahan api bertapis, kedudukan negara itu memberi sedikit penampan berbanding negara yang bergantung sepenuhnya pada import seperti Filipina atau Vietnam. Dari sudut ekonomi, katanya, beberapa petunjuk menunjukkan daya tahan domestik masih kukuh. Inflasi berada pada 1.6% tahun ke tahun pada Januari 2026, antara yang paling stabil di rantau ini, manakala KDNK berkembang 6.3% pada suku keempat 2025, menjadikan pertumbuhan tahunan 5.2%. Aliran masuk pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM27.8 bilion pada suku keempat 2025 berbanding RM8.5 bilion pada suku sebelumnya, manakala eksport mencecah RM146.9 bilion pada Januari 2026, naik 19.6% tahun ke tahun. “Ini menunjukkan Malaysia memasuki tempoh ketidaktentuan global dengan penampan yang lebih kukuh berbanding banyak negara jiran,” katanya. Dalam jangka sederhana, beliau berkata Malaysia sedang membina laluan peralihan tenaga melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional. Sasaran termasuk mencapai 70% kapasiti elektrik boleh diperbaharui menjelang 2050, dengan program ‘Large Scale Solar 6’ dijangka menambah hampir 2GW kapasiti solar disokong kira-kira RM6 bilion pelaburan swasta. Selain itu, dana peralihan tenaga bernilai RM150 juta dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau bernilai RM1 bilion diwujudkan. “Ini penting kerana Malaysia bukan sekadar bertindak balas terhadap krisis semasa, tetapi juga mengurangkan kebergantungan masa depan terhadap kejutan tenaga global,” katanya. Dari sudut sentimen pelabur, Jamil berkata asas ekonomi negara masih kukuh, dengan unjuran pertumbuhan KDNK 2026 antara 4.3% hingga 4.6% oleh IMF, AMRO dan RAM Ratings. Kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0%, inflasi dijangka bawah 2.0%, manakala ringgit mengukuh sekitar 10% berbanding dolar AS pada 2025. Defisit fiskal juga berada pada trajektori pengukuhan, daripada 4.1% KDNK pada 2024 kepada unjuran 3.5% pada 2026. “Semua ini memberi ruang kepada Malaysia untuk menyerap kejutan tenaga tanpa mencetuskan panik atau langkah penjimatan melampau,” katanya. Beliau menegaskan komunikasi kepada rakyat perlu berasaskan fakta dan disiplin. “Ini adalah krisis import. Bekalan petroleum mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei 2026, dan tiada keperluan untuk pembelian panik. Rakyat perlu berbelanja secara berhemah dan tidak terpengaruh dengan khabar angin,” katanya. Namun, beliau mengingatkan Malaysia tidak kebal sepenuhnya. Jika konflik berpanjangan dan harga minyak kekal tinggi, beban fiskal akan meningkat dan tekanan inflasi boleh bertambah. “Malaysia berada dalam kedudukan lebih baik daripada banyak negara lain, tetapi tetap terdedah. Cabarannya adalah untuk mengekalkan disiplin dasar dan keyakinan awam dalam tempoh ketidaktentuan ini,” katanya.