Suara Sabah–Sarawak lebih kuat jika bawa isu bersama, kata bekas KM
2026-03-14 - 02:13
Salleh Said Keruak berkata idea kerjasama Sabah-Sarawak juga selaras semangat asal pembentukan Malaysia pada 1963, yang mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai ‘Borneo States’ dalam Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Wikipedia) PETALING JAYA: Suara Sabah dan Sarawak akan menjadi lebih kuat jika keduanya menyelaras serta bekerjasama membawa isu berkepentingan bersama, kata bekas ketua menteri Salleh Said Keruak. Bekas Adun Usukan itu dalam kenyataan berkata keadaan berbeza jika dua negeri terbabit menangani isu besar secara berasingan yang boleh menyebabkan kedudukan tawar menawar menjadi lemah. “Sudah tentu ada perkara di mana Sarawak dan Sabah mempunyai keutamaan yang berbeza. Itu perkara biasa. “Namun bagi perkara berkepentingan bersama, bekerjasama langkah lebih baik,” katanya menyifatkan kerjasama Sarawak–Sabah mencerminkan idea asal pembentukan Malaysia “Wilayah yang bekerjasama dengan saling menghormati.” Salleh berkata idea kerjasama itu juga selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia pada 1963, yang ketika itu mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai ‘Borneo States’ dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurutnya, ketika Malaysia dibentuk, negara ini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu negeri-negeri Tanah Melayu, Borneo States serta Singapura. Bagaimanapun, katanya pindaan Perlembagaan pada 1976 menggugurkan istilah ‘Borneo States’, sekali gus menyenaraikan Sabah dan Sarawak bersama negeri-negeri lain di Malaysia. “Ramai berpendapat pindaan ini telah mengaburkan struktur asal serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Pindaan Perlembagaan lebih terkini telah mengembalikan sebahagian pengiktirafan terhadap kedudukan khas Sabah dan Sarawak, walaupun istilah ‘Borneo States’ tidak dikembalikan,” katanya. Beliau turut menyentuh perbincangan mengenai idea ‘Blok Borneo’ yang menurut Salleh bertujuan memperkukuh kerjasama antara Sabah dan Sarawak dalam perkara berkepentingan bersama. “Jika istilah ‘Borneo Bloc’ dianggap sensitif, mungkin lebih sesuai disebut sebagai kerjasama Sarawak–Sabah,” katanya.