TheMalaysiaTime

Suami pelakon mengaku tak salah kes tipu jual tanah, gelaran datuk

2026-03-11 - 04:24

Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban menetapkan jaminan RM25,000 serta RM3,000 dengan seorang penjamin yang bukan isteri tertuduh. (Gambar Reuters) PETALING JAYA: Suami kepada seorang pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM200,000. Sinar Harian melaporkan Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan. Dia didakwa memperdaya seorang lelaki 56 tahun untuk membuat pembayaran RM270,811 ke akaun seorang wanita berusia 35 tahun untuk mendapat tanah kurniaan Selangor yang tidak wujud di sebuah bank di Seremban pada 2 April hingga 13 Nov 2025. Di mahkamah berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah di depan Majistret Nurul Saqinah Rosli atas pertuduhan menipu seorang lelaki 49 tahun untuk membuat bayaran RM23,120 mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran datuk yang tidak wujud. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Seremban 2 antara 22 Jan hingga 9 Nov 2025 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda. Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum kerana isterinya tidak bekerja, selain perlu menanggung sembilan anak. Mahkamah Sesyen dan Majistret menetapkan jaminan RM25,000 serta RM3,000 dengan seorang penjamin yang bukan isteri tertuduh, selain perlu menyerahkan pasport, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April ini. Media sebelum ini melaporkan pelakon itu dan suaminya ditahan berhubung kes penipuan jual tanah lot kurnia membabitkan kerugian RM1.5 juta dan darjah kebesaran, sebelum disiasat berkaitan kes pelaburan penjualan lembu.

Share this post: