TheMalaysiaTime

Strategi TMM 2026 dinilai semula, fokus tarik pelancong Asia susulan konflik Asia Barat

2026-03-23 - 04:31

Konflik di Asia Barat mungkin memberi kesan terhadap sasaran TMM 2026 sekali gus memerlukan penelitian semula strategi yang dirancang kerajaan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Kerajaan akan menilai semula strategi bagi menarik pelancong ke negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan penerbangan terjejas. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa, berkata tumpuan akan diubah kepada usaha menarik pelancong dari rantau lain yang tidak terjejas khususnya dalam Asia. Katanya, konflik berkenaan mungkin memberi kesan terhadap sasaran TMM 2026 sekali gus memerlukan penelitian semula strategi yang dirancang kerajaan. “Strategi kami akan berubah, kita sudah mengadakan mesyuarat dalaman dan sedang menilai semula strategi yang dirangka. “Kita juga ada negara Asia dan Asia Tenggara yang kurang mengalami kelewatan, jadi kita akan memberi tumpuan kepada pasaran ini,” katanya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, menurut Berita Harian. Selain itu, Chua berkata kerajaan juga akan menilai semula strategi untuk menarik pelancong yang perlu transit di Asia barat yang menyebabkan kelewatan penerbangan. “Jadi kami mencari cara untuk mengatasinya seperti menggunakan lapangan terbang tertentu untuk transit bagi mengelak mereka tiba di rantau itu. “Setiap pasaran mempunyai strategi berbeza dan keputusan hanya boleh dibuat selepas data mengenai konflik di Asia Barat dikumpul serta dianalisis,” katanya. Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan jumlah kemasukan pelancong sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini menunjukkan peningkatan 30% berbanding tempoh sama tahun lalu. Katanya, angka itu dilihat menggalakkan namun kerajaan tetap berhati-hati dengan kemungkinan kesan konflik terhadap ketibaan pelancong.

Share this post: