STR Fasa 2 diawalkan ke esok, rakyat digesa berhemah
2026-03-09 - 02:04
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat berbelanja secara berhemah, mengambil kira ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah yang boleh memberi kesan kepada ekonomi global. PUTRAJAYA: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 diawalkan ke esok berbanding bulan depan bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Namun, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat berbelanja secara berhemah, mengambil kira ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah yang boleh memberi kesan kepada ekonomi global. Menurutnya, sebarang gangguan di laluan perdagangan penting seperti Selat Hormuz atau Laut Merah boleh menjejaskan penghantaran minyak, gas serta barangan keperluan. “Ratusan kapal tangki yang membawa minyak dan gas boleh terjejas. Apabila laluan ini terganggu, kos pengangkutan boleh meningkat dua hingga tiga kali ganda. “Walaupun kita sedar berbanding banyak negara lain, keadaan di Malaysia masih terkawal, tekanan tetap dirasai,” katanya berucap pada perjumpaan warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. “Sebab itu saya sering mengingatkan supaya kita berbelanja secara berhemah.” Pembayaran STR Fasa 2 melibatkan peruntukan kira-kira RM3 bilion kepada sekitar 5 juta penerima. Anwar yang juga menteri kewangan berkata, harga minyak dunia mencecah sekitar USD100 setong, namun kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban rakyat. “Kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya supaya kenaikan kos ini tidak membebankan rakyat,” katanya. Selain itu, menurutnya, Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 akan disalurkan kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah 13 Mac ini, manakala pesara kerajaan dan veteran akan menerima RM250. Kerajaan juga akan menyalurkan bantuan khas RM500 kepada kira-kira 70,000 imam, bilal, tok siak, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan guru takmir bermula 13 Mac ini.