Steven Sim seru rakyat tolak ekstremisme, ejen provokasi
2026-03-10 - 09:15
Timbalan Setiausaha Agung DAP Steven Sim kata sudah tiba masa semua bentuk keganasan dan provokasi agama serta kaum dihentikan. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Timbalan setiausaha agung DAP menyeru rakyat supaya menolak ekstremisme dan ejen provokasi, mengatakan sudah tiba masa semua bentuk keganasan dan provokasi agama serta kaum dihentikan. Steven Sim, yang juga menteri sumber manusia, menggesa polis bertindak segera dan tegas terhadap semua pelaku. “Mereka harus dikenakan tindakan undang-undang yang paling keras sekali, tak kira yang pijak Al-Quran, yang pijak simbol agama Hindu, yang buat provokasi roboh kuil, yang buat vandalisme, yang bakar kenderaan. “Musuh kita bukan sesama sendiri, tak kira kaum dan agama,” katanya di Facebook. Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata semua pihak bertanggungjawab menurunkan suhu perkauman, dan tidak menyebarkan kebencian. “Saya akan bangkitkan isu ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok,” katanya. Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata kementerian memandang serius tiga kejadian yang mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat, iaitu kejadian kenderaan milik aktivis dibakar pihak tidak bertanggungjawab, video memaparkan seorang individu memijak serta merosakkan simbul suci Hindu, dan serangan terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth. Beliau menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat selaras undang-undang. Beliau juga menyeru rakyat tidak bertindak secara beremosi atau menyebarkan spekulasi, khususnya di media sosial ketika berdepan isu sensitif melibatkan kaum dan agama.