TheMalaysiaTime

Status cuaca panas 15 kawasan di Semenanjung pada tahap 1, 2

2026-03-23 - 02:21

Status cuaca panas di Padang Terap berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius. Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung berada pada tahap satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis dan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah. Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) serta Rembau (Negeri Sembilan). MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius, manakala tahap berjaga-jaga antara 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut. Rujuk maklumat terkini status cuaca panas harian di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/. Sementara itu, MetMalaysia dalam hantaran Facebooknya turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Meteorologi Sedunia bertemakan ‘Pemantauan Hari ini, Perlindungan Hari Esok’. Menurutnya, tema itu menekankan kepentingan teknologi dan usaha pemantauan meteorologi tepat serta terkini dalam melindungi kehidupan dan alam sekitar untuk generasi akan datang. “Melalui pemantauan cuaca hari ini, kita dapat membuat ramalan lebih berkesan, mengeluarkan amaran awal serta mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan risiko bencana alam dan kesan perubahan iklim.” MetMalaysia turut meraikan ulang tahun ke-68 keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia, pencapaian yang mencerminkan komitmen negara dalam menyumbang kepada kerjasama global demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian bumi. Ketua Pengarah MetMalaysia, Hisham Mohd Anip merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada warga kerja jabatan itu yang berdedikasi serta memberi komitmen berterusan dalam melaksanakan pemantauan serta pelepasan belon cuaca setiap hari. “Dalam kesibukan tugas harian, ketika ramai sedang tidur diulit mimpi, warga MetMalaysia tetap teguh menjalankan amanah, memantau dan meramal cuaca demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.” Beliau turut merakamkan penghargaan istimewa kepada penyelidik cuaca dan iklim yang menyumbang kepada pemahaman tentang corak cuaca masa lalu, sekali gus membimbing usaha ke arah masa depan lebih lestari.

Share this post: