TheMalaysiaTime

SPRM tumpas sindiket penipuan antarabangsa didalangi warga China

2026-03-10 - 00:44

SPRM berkata sindiket tersebut dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan merentasi sempadan dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pihak berkuasa China berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan antarabangsa yang dikendalikan rakyat China yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu. Operasi bersepadu yang dijalankan menerusi Op Dragon menyasarkan rangkaian sindiket yang dipercayai berpangkalan dan beroperasi di beberapa negara termasuk Malaysia. Sindiket tersebut dikenal pasti menjalankan aktiviti penipuan merentasi sempadan dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi dan teknologi bagi memperdaya mangsa. Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin memberitahu, melalui beberapa siri operasi yang dijalankan secara bersepadu, SPRM berjaya menahan 16 suspek utama yang bersembunyi di negara ini. “Semua suspek ini merupakan rakyat China dan mereka telah dihantar pulang bagi tujuan proses perbicaraan di negara itu. “Proses penghantaran pulang dilakukan dengan kerjasama kedutaan China serta Jabatan Imigresen dengan semua prosedur perundangan dan diplomatik dipatuhi,” katanya dalam kenyataan. Dalam operasi yang sama, SPRM turut menyita pelbagai aset yang dipercayai diperolehi hasil aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan aktiviti jenayah sindiket tersebut. Antara barangan yang disita termasuk dua kereta mewah, barang kemas, jongkong emas, komputer peribadi, komputer riba, wang tunai pelbagai mata wang asing serta ratusan telefon bimbit yang dipercayai digunakan sebagai alat utama dalam kegiatan tersebut. Nilai keseluruhan aset yang disita dianggarkan bernilai jutaan ringgit dan kini SPRM sedang menjalankan proses pelucuthakan terhadap aset-aset tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Susulan kejayaan operasi ini, ia membuktikan komitmen berterusan SPRM dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi membanteras jenayah kewangan dan aktiviti penipuan rentas sempadan yang boleh menjejaskan keselamatan ekonomi serta kepentingan negara. SPRM menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan sistem kewangan, rasuah serta aktiviti penipuan akan terus dibanteras melalui tindakan penguatkuasaan dan kerjasama erat dengan rakan penguatkuasaan di peringkat antarabangsa.

Share this post: