SPRM tolak dakwaan siasatan dipengaruhi kepentingan peribadi susulan laporan Bloomberg
2026-02-12 - 09:36
Sebarang dakwaan salah laku wajar dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan, tegas SPRM. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak sama sekali sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, susulan laporan oleh media antarabangsa, Bloomberg. Badan antirasuah itu menegaskan ia tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif, serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan. Katanya, sebarang dakwaan salah laku wajar dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan, dan tidak boleh diadili melalui naratif media. “Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti, serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih. “Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa,” menurut kenyataan. SPRM gesa pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya, bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras undang-undang. Terdahulu, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menerusi laporan Bloomberg. Pengerusi Mohamad Salim Fateh Din berkata berdasarkan semakan dan penjelasan dikemukakan, LPPR mengambil maklum keperluan pengisytiharan harta itu dengan jelas telah dikemukakan kepada ketua setiausaha negara. Menurutnya, ia menepati arahan Pekeliling Perkhidmatan Awam selaras dengan kerangka tadbir urus perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan melalui saluran rasmi ditetapkan. Awal minggu ini, Bloomberg melaporkan dakwaan Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu. Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Perkara itu didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah. Azam dalam maklum balasnya semalam menyifatkan laporan agensi berita antarabangsa itu berniat jahat dan akan menghantar surat tuntutan. Ketua agensi antirasuah itu berkata saham berkenaan dibeli dan dilupuskan pada tahun sama serta diisytiharkan secara telus.